‘Undur bukan pilihan, setiap langkah adalah maruah’ – Kisah kecekalan pelari terakhir MY100

189

Masa yang dicatatnya 32 jam, 47 minit, dan 20 saat. Mushaidi Ismail mungkin menjadi pelari terakhir yang melintasi garisan penamat kategori MY100 (100KM) di Malaysia Ultra-Trail by UTMB, Taiping. 

Namun, kecekalan luar biasa yang dipamerkannya membuktikan bahawa semangat beliau berada di kelas yang tersendiri.


Detik menamatkan larian ekstrem itu disambut dengan rasa bangga dan kesyukuran terutamanya selepas hampir berputus asa di saat-saat akhir.

“Saya bangga sangat. Mula-mula saya dah putus asa dah tadi, ingat tak dapat dah. Tapi penganjur beri peluang, dia kata ada 20 minit lagi. Alhamdulillah, mungkin rezeki saya,” 

luah Mushaidi sejurus melangkah garisan penamat.

Mengimbas kembali lariannya, Mushaidi mengakui perancangan awalnya berjalan dengan sangat lancar, namun kesilapan berehat terlalu lama yang tidak disengajakan menjejaskan peracangannya.

“Game plan asal memang cantik. Cuma pagi tadi tersilap sikit, saya tidur lama sebelum nak naik ke atas. Bajet nak tidur 10 minit sahaja, tetapi terlajak sampai 30 minit. Itu yang jadi masalah dekat saya.”

Cabaran mentalnya semakin diuji apabila melepasi laluan terakhir yang memerlukan daya tahan fizikal dan fokus yang tinggi akibat perubahan trek.

“Part yang paling rasa nak give up adalah dekat bahagian terakhir. Sepatutnya laluan naik di sebelah situ, tetapi trek dibuat di sebelah lain. Jadi kena naik dan pindah laluan, itu yang buat rasa nak mengalah.”

Meskipun terpaksa mengerahkan seluruh tenaga, Mushaidi tetap memberikan pujian tertinggi terhadap kualiti dan cabaran laluan di Taiping yang disifatkannya amat berbeza daripada acara denai llain yang pernah disertainya. 

Dalam pada itu, Mushaidi telah pun mengesahkan tekadnya untuk kembali beraksi pada edisi akan datang.

“Trek dekat Taiping memang terbaik dan mencabar. Berbeza sangat dengan yang lain. Tahun depan repeat? Repeat itu wajib!”

Sementara itu, beliau turut sempat memberi kata-kata kepada mereka yang baru mahu menjinakkan diri dalam kategori jarak jauh.

“Undur bukan pilihan. Setiap langkah itu maruah.”