Kehangatan One Muaythai Order KL Fight Super Pro 2026 gegar Stadium Titiwangsa
Demam Muay Thai bakal melanda ibu negara menerusi kejohanan berprestij One Muaythai Order KL Fight Super Pro 2026 yang akan berlangsung pada 20 September 2026 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur.
Acara gilang-gemilang bermula jam 4.00 petang hingga 12.00 malam ini bakal menghimpunkan deretan jaguh terkemuka tanah air serta bakat baharu, sekali gus mengeratkan silaturahim dan memupuk semangat kesukanan dalam kalangan komuniti.
Gelanggang bakal menyaksikan pertarungan Main Bout antara Jebat Taring dan Omar dari kem TGS Legacy. Jebat Taring yang tidak asing lagi hadir dengan reputasi hebat selaku pemenang pingat SUKMA serta pelbagai kejuaraan tempatan, manakala Omar pula merupakan pencabar pentas BYON yang pernah menjuarai pelbagai kejohanan utama di Malaysia dan sedia melakar kejutan.
Tumpuan juga terarah kepada aksi rematch penuh emosi antara Hidham daripada KL Cops dan Dik Miey mewakili Rembo Topkick.
Hidham yang pernah membawa nama Malaysia ke pentas BYON serta mewakili Terengganu di SUKMA Selangor bakal ditentang habis-habisan oleh Dik Miey yang dahagakan kejuaraan selepas pernah kecundang di tangan Hidham sebelum ini.
Satu lagi pertembungan tumpuan menyaksikan ayam tambatan JTT, Nazmi, kembali beraksi selepas pulih daripada kecederaan untuk menentang JAA Komando dari kem ATM Muay Thai.
JAA Komando yang merupakan bekas pemegang tali pinggang Kuda Merah Fight Kuala Lumpur terkenal sebagai petarung berdisiplin tinggi dengan intensiti latihan luar biasa, sekali gus menjanjikan pertempuran fizikal yang cukup mendebarkan.
Aksi kejohanan turut hangat dengan pertembungan sengit antara Azim Respect Fighter dan Luis Correia dari Lapisoru MMA & Muay Thai.
Azim, selaku pemegang tali pinggang WMC 2025 kategori 50 KG, terkenal dengan reputasinya yang pernah memberi tentangan sengit kepada petarung terkemuka seperti Aman Koboi (FURY Championship) dan Irman Teapon (TFIGHT All Star).
Para peminat seni tempur tempatan boleh mendapatkan tiket menyaksikan kejuaraan bertenaga ini pada harga RM15.00 sahaja di Stadium Titiwangsa pada 19 dan 20 September 2026.
Ayuh beramai-ramai membanjiri stadium bagi memberikan sokongan padu kepada para petarung yang bakal berjuang demi maruah dan masa depan sukan Muay Thai tanah air!