Dulu beraksi bersama skuad utama di Liga Super & negara, namun kini semakin tenggelam

20,819

Selepas kegagalan skuad kebangsaan Malaysia di saingan Piala AFF 2020 hujung tahun lalu, ramai peminat yang tertanya-tanya mengenai tiga pemain yang tidak dipanggil iaitu Adam Nor Azlin, Azrif Nasrulhaq dan Ahmad Hazwan Bakri.

Ketiga-tiga pemain ini merupakan tonggak utama ketika beraksi bersama Selangor FC di saingan Liga Super yang mana prestasi cemerlang mereka telah menarik perhatian kelab gergasi dari selatan iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT).


Malah mereka juga sentiasa beraksi cemerlang ketika bersama skuad Harimau Malaya, oleh itu tidak hairan ketiga-tiga pemain ini mendapat perhatian banyak pasukan.

Perpindahan mereka ke sana disambut baik oleh peminat bola sepak tempatan yang menganggap ia sebagai peluang untuk ketiga-tiga mereka untuk melebarkan sayap mereka apabila berpeluang untuk bermain di tahap lebih tinggi berikutan JDT bermain di AFC Champions League (ACL).

Ketiga-tiga sememangnya memberi impak, namun lambakan pemain-pemain bintang dalam pasukan menyebabkan mereka sering memanaskan bangku simpanan dan akhirnya diturunkan ke pasukan JDT II yang beraksi di Liga Perdana.

JDT II memulakan kempen saingan Liga Perdana 2022 dengan langkah kiri apabila mereka tewas 1-2 di tangan Kelantan FC di tempat sendiri dalam perlawanan pertama mereka dengan ketiga-tiga pemain ini turun dalam kesebelasan utama.

Dengan rata-rata pemain yang diturunkan ketika menentang Kelantan pernah beraksi untuk skuad utama, namun keserasian antara pemain masih lagi belum kelihatan dan menjadi punca kepada kekalahan mereka.

Ada segelintir peminat yang berharap agar mereka berhijrah ke pasukan lain demi kelangsungan karier bola sepak memandangkan mereka masih muda, namun nampaknya mereka masih selesa bersama di sana.

Antara salah satu faktor mereka mahu kekal di sana adalah tidak perlu memikirkan soal masalah gaji seperti yang berlaku pada beberapa pasukan sehingga kini.

Namun mereka perlu berani mengambil risiko demi memastikan karier bola sepak mereka dapat diteruskan bukan untuk kelab juga tetapi juga untuk negara.

Sebagai contoh, penyerang kebangsaan Syafiq Ahmad berhijrah ke JDT selepas mempamerkan aksi yang hebat ketika bersama pasukan Kedah Darul Aman FC.

Tetapi sejak menyarung jersi Harimau Selatan, beliau gagal mendapat tempat dalam kesebelasan utama dan sering memanaskan bangku simpanan sahaja sehingga prestasinya merudum.

Bagaimanapun beliau mengambil keputusan untuk berhijrah secara pinjaman untuk musim 2022 yang mana Syafiq kembali ke Darul Aman.

Syafiq mempamerkan aksi yang cukup cemerlang sepanjang 12 perlawanan persahabatan termasuk berjaya membantu Kedah menjulang trofi Sabah Maju Jaya (SMJ).

Dalam perlawanan pembukaan Liga Super, beliau turut diturunkan dalam kesebelasan utama bergandingan dengan penyerang utama ketika menentang Sarawak United FC yang menyaksikan mereka membawa pulang tiga mata penuh.

Rata-rata peminat nyata gembira dengan prestasi cemerlang yang ditampilkan oleh Syafiq dan ia telah terbukti, pemain perlukan minit permainan yang cukup untuk terus konsisten dan sentiasa dalam prestasi terbaik.

Sementara itu, masih ramai peminat yang rindu melihat ketiga-tiga pemain Adam Nor Azlin, Azrif Nasrulhaq dan Hazwan Bakri kembali beraksi dengan prestasi sebenar mereka.

Bagaimanapun ia semuanya bergantung kepada pemain itu sendiri samada mahu kembali beraksi di saingan liga tertinggi atau tidak kisah janji gaji tak sangkut.