Karnival Ragbi Johor 2026: 108 Pasukan berentap di kejohanan terbesar Malaysia
Pentas ragbi tanah air bakal bergegar kembali apabila kejohanan ragbi terbesar di Malaysia, Karnival Ragbi Johor 2026 Edisi Ke-14, bersedia menghimpunkan 108 pasukan sekolah dan kelab dari seluruh pelosok negara.
Aksi padat dan penuh bertenaga ini akan berlangsung selama tiga hari bermula 25 hingga 27 September 2026 di Stadium Ragbi Johor, Kompleks Sukan Mount Austin.
Anjuran Kesatuan Ragbi Negeri Johor (JRU) dengan kerjasama strategik Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ), Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) serta Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) ini mempertemukan bakat-bakat muda dalam empat kategori utama:
- Bawah 16 Tahun (Lelaki)
- Bawah 14 Tahun (Lelaki)
- Bawah 11 Tahun (Lelaki)
- Bawah 16 Tahun (Perempuan)
Tumpuan penganjuran kali ini pastinya terarah kepada gergasi tempatan, Sekolah Sukan Negeri Tun Hussein Onn (THOR).
Hadir selaku juara bertahan bagi kategori Bawah 14 dan Bawah 16 Tahun Lelaki, THOR membawa misi serampang dua mata untuk mempertahankan gelaran ‘juara berganda’ yang dimenangi pada edisi lalu.
Walau bagaimanapun, mereka tidak akan berdepan laluan mudah kerana persaingan dijangka sengit dengan kehadiran pasukan-pasukan berprofil tinggi dari serata negeri, termasuk penyertaan jauh dari Sabah dan Sarawak.
Kehadiran mereka membuktikan kualiti dan populariti sukan ragbi di peringkat akar umbi semakin melonjak tinggi.
Dalam pada itu, Presiden JRU, Dato’ Hj Mohd Noorazam bin Dato’ Hj Osman, menegaskan bahawa kesinambungan karnival ini sehingga edisi ke-14 memantapkan lagi kedudukannya sebagai tunjang pembangunan ragbi kebangsaan.
“Penganjuran karnival ini selari dengan aspirasi Kerajaan Negeri Johor, khususnya dalam menjayakan Tahun Melawat Johor 2026, di samping memperkukuh ekosistem ragbi negeri. Kejohanan ini menjadi medan terbaik mencungkil bakat baharu serta memberi pendedahan perlawanan berprestij kepada pemain muda,” katanya.
Beliau turut meluahkan harapan agar kejohanan ini terus melonjak ke tahap lebih tinggi sehingga mampu menempa nama dalam kalendar ragbi antarabangsa pada masa akan datang.
Kelangsungan kejohanan berimpak tinggi ini turut mendapat dorongan kukuh daripada barisan penaja terkemuka, antaranya Dialog Group Berhad, JCORP Corporation, Safwa Global Venture Sdn Bhd, Nestlé (Malaysia) Berhad, Joland Group, Permodalan Darul Ta’zim, Iskandar Investment Berhad, Faiz Sports, Rugger District, dan Arie Sportswear.
Lebih daripada sekadar memburu piala, Karnival Ragbi Johor 2026 berfungsi sebagai wadah menyatu dan merakyatkan sukan ragbi, membina jaringan antara sekolah dan kelab, serta menyemarakkan semangat kesukanan.
Jangan lepaskan peluang menyaksikan kehangatan aksi ragbi akar umbi terbaik negara di Mount Austin hujung minggu ini!