Misi Jakarta: Mampukah Harimau Malaya realisasikan impian ke final?

179

Selepas melalui tempoh penuh turun naik, pasukan kebangsaan Malaysia kini mempunyai peluang untuk membuka lembaran baharu apabila turun memburu tiket ke final Piala ASEAN FIFA 2026 di Indonesia.

Malah, sasaran untuk mara ke perlawanan akhir bukan sekadar datang daripada penyokong, sebaliknya Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Dato’ Ab Ghani Hassan sendiri secara terbuka menyatakan keyakinannya bahawa skuad Harimau Malaya mempunyai kualiti untuk merealisasikan impian tersebut.


Dengan Malaysia kini menghuni ranking ke-136 dunia, skuad kendalian ketua jurulatih interim, Tan Cheng Hoe, bakal membuka kempen Divisyen 1 menentang Bangladesh yang berada di tangga ke-181 dunia di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, Jumaat ini.

Namun, angka ranking itu tidak seharusnya menjadi ukuran mutlak kerana selepas Bangladesh, Malaysia akan berdepan tuan rumah Indonesia yang kini berada di ranking ke-118 dunia sebelum menamatkan saingan kumpulan menentang Singapura, pasukan di tangga ke-148 dunia.

Di sinilah letaknya persoalan sebenar — adakah Harimau Malaya mempunyai cukup kekuatan untuk keluar sebagai juara Kumpulan A?

Format kejohanan kali ini menjadikan setiap perlawanan amat penting kerana hanya juara setiap kumpulan akan mara ke final, jadi tiada ruang untuk kesilapan besar kerana formatnya adalah satu pusingan dan hanya pendahulu kumpulan memperoleh tiket ke perlawanan akhir.

Bangladesh: Wajib bermula dengan langkah kanan

Aksi pembukaan menentang Bangladesh boleh dianggap sebagai perlawanan yang perlu dimanfaatkan sebaik mungkin.

Selain perbezaan ranking yang ketara, Malaysia juga mempunyai kelebihan dari segi pengalaman pemain yang pernah beraksi di pentas antarabangsa. 

Kemenangan dalam aksi pertama bukan sahaja memberikan tiga mata, malah berpotensi menjadi pencetus momentum sebelum berdepan Indonesia tiga hari kemudian.

Bagaimanapun, Tan Cheng Hoe sendiri menegaskan fokusnya ketika ini adalah memastikan pemain memberikan perhatian penuh kepada setiap perlawanan, bermula dengan Bangladesh dan bukannya terlalu memikirkan kedudukan akhir atau masa depannya bersama skuad negara.

Indonesia: Di sinilah karakter Harimau Malaya diuji

Jika Bangladesh adalah permulaan, Indonesia pula boleh menjadi penentu besar kepada hala tuju Malaysia dalam kumpulan.

Bermain di Gelora Bung Karno dengan sokongan puluhan ribu penyokong tuan rumah bukan perkara mudah. Indonesia juga mempunyai kedudukan ranking lebih baik dan membawa motivasi tersendiri untuk memanfaatkan kelebihan sebagai tuan rumah.

Justeru, kemampuan Harimau Malaya mengawal emosi, disiplin taktikal dan bertahan ketika diasak tekanan mungkin menjadi faktor penting dalam perlawanan ini.

Menariknya, Cheng Hoe mempunyai pengalaman berdepan tekanan bola sepak Indonesia dan pernah menggunakan pengalaman pertemuan terdahulu sebagai rujukan untuk memastikan pemain kekal tenang.

Singapura: Aksi terakhir yang tidak boleh dipandang ringan

Selepas Indonesia, Malaysia perlu berdepan Singapura di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung.

Walaupun Singapura berada di ranking lebih rendah berbanding Malaysia, perlawanan terakhir kumpulan mungkin menjadi aksi paling penting sekiranya perebutan tempat teratas masih terbuka.

Dalam format seperti ini, beza satu mata boleh menentukan siapa ke final. Maka, Malaysia perlu memastikan segala-galanya masih berada dalam kawalan selepas dua aksi pertama sebelum menamatkan saingan kumpulan dengan keputusan yang diperlukan.

Wajah baharu, peluang baharu

Satu lagi faktor menarik ialah skuad kali ini hadir dengan gabungan muka lama dan baharu.

Daripada 23 pemain yang dipanggil, hanya beberapa pemain dikekalkan daripada skuad Piala ASEAN sebelum ini seperti Azri Ghani, Ubaidullah Shamsul Fazili dan G. Pavithran, manakala Sergio Aguero dan Faris Danish Asrul terpaksa digugurkan dek kecederaan. 

Pada masa sama, beberapa pemain berpengalaman serta pemain yang baru mendapat kelayakan untuk mewakili Malaysia memberikan lebih banyak pilihan kepada Cheng Hoe.

Namun, cabaran terbesar bukan sekadar kualiti individu, sebaliknya mereka perlu segera membina keserasian dalam tempoh singkat kerana kejohanan berlangsung padat dengan tiga aksi kumpulan dalam tempoh hanya tujuh hari.

Sasaran final kini perlu diterjemahkan di atas padang

Apa yang menarik, Piala ASEAN FIFA 2026 bukan sekadar peluang untuk memburu trofi pertama dalam era baharu FAM.

Ab Ghani mahu kejohanan ini menjadi titik permulaan kepada usaha Malaysia kembali menghampiri kelompok 100 terbaik dunia, terutama dengan undian kelayakan Piala Dunia 2030 dan Piala Asia 2031 yang dijadualkan tahun depan. 

Setiap mata ranking daripada kejohanan ini tetap mempunyai nilai.

Maka, sasaran final yang diletakkan Ab Ghani mempunyai dua dimensi iaitu memburu keputusan segera dan pada masa sama membina semula keyakinan terhadap Harimau Malaya.

Laluannya sudah jelas. Bangladesh perlu dihadapi, Indonesia perlu dilawan dengan keberanian dan Singapura perlu diselesaikan dengan disiplin.

Jika tiga tugasan itu berjaya dilalui, barulah impian untuk kembali ke Gelora Bung Karno pada 5 Oktober sebagai salah satu finalis boleh menjadi kenyataan.

Buat masa ini, segala-galanya masih terbuka dan untuk Harimau Malaya, peluang kebangkitan itu sudah berada di depan mata.