Brooks Marathon 2027 sasar 10K peserta dan perluas acara ‘trail running’

98

Kejayaan penganjuran edisi sulung Brooks Marathon Kuala Lumpur 2026 yang berjaya menghimpunkan seramai 6,000 peserta kini menjadi penanda aras baharu buat jenama sukan terkemuka berkenaan. 

Pengarah Paragon Vest, Victor Tiew Gee How, berkongsi keyakinan beliau untuk membawa acara ini ke peringkat yang lebih tinggi pada masa akan datang.


Melihat kepada sambutan luar biasa daripada komuniti pelari, pihaknya menyasarkan pendaftaran sehingga 10,000 peserta bagi edisi kedua yang bakal berlangsung kelak. 

Jumlah ini ditetapkan sebagai kapasiti maksimum demi memastikan kualiti pengurusan, tahap keselamatan, serta keselesaan setiap pelari sepanjang laluan dapat dijaga dengan cemerlang.

“Bagi saya, keselamatan pelari adalah keutamaan paling utama. Sasaran mengikut tahap keyakinan pasukan kami ialah 10,000 peserta, itu had maksimum supaya kami dapat menguruskan acara dengan baik dan memberikan pengalaman terbaik kepada pelari. Kami juga tak mahu ada pelari yang rasa tak selesa nanti,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tambah Victor, pihaknya juga kini sedang menjalankan penilaian terperinci bersama pasukan teknikal dan pihak berkuasa bagi menentukan lokasi serta laluan terbaik sebelum pengumuman rasmi dibuat.

Dalam pada itu, edisi akan datang bakal menyaksikan beberapa pembaharuan penting yang dirangka khusus berdasarkan maklum balas jujur daripada para peserta edisi pertama. 

Selain menambah baik kemudahan di race village dan susun atur laluan, pihak penganjur berhasrat untuk memperluaskan ruang khas group branding kepada semua kelab larian dan bukannya terhad kepada duta jenama sahaja.

“Bagi edisi kedua, saya boleh katakan kita akan mengekalkan asas kejayaan yang telah kita capai tahun ini, tetapi kita mahu menambah baik berdasarkan maklum balas pelari.

Semasa perancangan tahun ini, kita hanya menyediakan ruang khas branding kumpulan untuk duta sahaja di race village, tetapi tahun depan kita mahu buat lebih besar untuk semua pelari yang menyertainya.”

Sementara itu, sebagai usaha memenuhi minat peminat sukan larian yang kian berkembang, Brooks mengesahkan bakal menganjurkan dua acara trail running pada tahun hadapan. 

Berbeza dengan larian maraton jalan raya yang lebih berorientasikan pencapaian masa, acara trail ini direka dengan konsep santai dan berteraskan komuniti.

“Tahun depan kita akan menganjurkan dua acara larian denai (trail running). Untuk acara trail, kita tidak mahu terlalu kompetitif, sebaliknya lebih kepada menikmati larian dan bersantai sahaja.”