Bukan rezeki ke final, Cheng Hoe tetap positif selepas kemenangan 6-0
Harimau Malaya menutup kempen Divisyen 1 Kumpulan A Piala ASEAN FIFA 2026 dengan kemenangan bergaya selepas membelasah Singapura 6-0, namun keputusan itu masih belum cukup untuk membawa skuad negara ke pentas final.
Malaysia mengumpul tujuh mata selepas tiga perlawanan, jumlah sama yang diraih Indonesia. Bagaimanapun, skuad Garuda menempah tiket ke final menerusi kelebihan jumlah jaringan selepas membelasah Bangladesh 9-2.
Ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mengakui sedikit kecewa terutama selepas anak buahnya menampilkan persembahan cukup meyakinkan ketika menundukkan Singapura.
“Sudah tentu sedikit mengecewakan bagi saya sebagai jurulatih kerana kami tidak layak ke peringkat akhir. Tetapi pemain-pemain boleh berpuas hati dengan sikap mereka dan cara kami bermain. Mereka memberikan segalanya dalam perlawanan ini dan kami perlu meneruskan perjalanan,”
katanya.
Kemenangan 6-0 itu turut memberikan satu lagi petanda positif apabila Harimau Malaya berjaya mengekalkan gawang tanpa bolos dalam tiga perlawanan terakhir selain menghasilkan jumlah jaringan yang besar.
Cheng Hoe melihat perkembangan tersebut sebagai asas penting untuk pasukan terus berkembang, meskipun kecewa kerana gagal melangkah ke final.
“Saya rasa kita perlu menerima hakikat bahawa kita tidak layak ke peringkat akhir. Tetapi perkara paling penting ialah kita bermain dengan sangat baik dalam tiga perlawanan terakhir.
Kita mampu mempertahankan gawang dan menjaringkan begitu banyak gol. Saya rasa itu adalah petanda yang baik untuk pasukan kebangsaan.”
Kini, misi Harimau Malaya belum berakhir apabila skuad negara akan meneruskan perjuangan dalam perlawanan penentuan tempat ketiga.
Bagi Cheng Hoe, aksi tersebut tetap penting untuk memastikan pasukannya menamatkan kejohanan dengan nota positif, selain memberikan peluang kepada pemain untuk terus membina momentum.
“Saya percaya jika pemain-pemain terus bertambah baik, kekal dengan cara kami bermain dan percaya kepada falsafah permainan, kita mempunyai masa depan dan prospek yang lebih baik.”
Dalam pada itu, Cheng Hoe turut mengakui kehilangan Faisal Halim akibat kecederaan memberi kesan kepada pasukan, namun beliau berharap pemain sayap itu dapat kembali pulih secepat mungkin.
“Disebabkan kecederaannya, dia mungkin perlu melupakan beberapa perlawanan yang akan datang. Kami berharap Faisal akan pulih secepat mungkin. Pasukan perubatan akan melakukan segala-galanya untuk membantunya.”
Sementara itu, walaupun tiket final terlepas, kemenangan besar ke atas Singapura sekurang-kurangnya memberikan Harimau Malaya suntikan keyakinan sebelum turun dalam aksi penentuan tempat ketiga.