Isu masa tambahan Indonesia-Bangladesh: FAM tuntut penjelasan daripada FIFA

282

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak berdiam diri dan mengambil langkah tegas memandang serius insiden kontroversi membabitkan perubahan tempoh masa tambahan dalam perlawanan Kumpulan A Piala ASEAN FIFA 2026 antara Indonesia dan Bangladesh di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, malam tadi.

Aksi yang menyaksikan Indonesia menang besar itu mencetuskan persoalan hangat apabila tempoh masa tambahan yang pada asalnya dipamerkan selama dua minit, secara tiba-tiba bertukar menjadi tujuh minit.


Menerusi kenyataan rasmi, badan induk bola sepak negara itu mengesahkan akan mengemukakan permohonan rasmi kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bagi menuntut penjelasan terperinci mengenai asas, prosedur, serta keputusan yang dibuat oleh pegawai perlawanan bertugas.

“FAM ingin menegaskan bahawa pengurusan masa perlawanan merupakan aspek penting dalam memastikan setiap perlawanan berlangsung secara adil, telus dan selaras dengan peraturan pertandingan yang ditetapkan.”

Perkara ini wajar diberikan perhatian serius memandangkan setiap minit dalam aksi perlawanan terakhir Kumpulan A tersebut secara langsung memberi kesan besar kepada penentuan kedudukan akhir dan kriteria kelayakan ke pusingan akhir.

Meskipun langkah ini diambil selepas Harimau Malaya terpaksa akur harapan ke final akibat perbezaan jumlah jaringan, FAM menegaskan tindakan tersebut dibuat atas dasar integriti dan prosedur pengadilan.

“Permohonan ini bukan bertujuan untuk mempersoalkan keputusan perlawanan atau mempertikaikan pencapaian mana-mana pasukan, sebaliknya bagi mendapatkan penjelasan rasmi mengenai proses dan prosedur pengadilan bagi mengelakkan kekeliruan yang timbul.”

FAM kini menggesa FIFA untuk menjalankan penelitian menyeluruh terhadap insiden berkenaan bagi memastikan sama ada perubahan masa tambahan itu dibuat mengikut garis panduan dan undang-undang bola sepak yang berkuat kuasa.