Lee Zii Jia berada di landasan tepat untuk pertahan gelaran Seluruh England
Pemain badminton perseorangan negara, Lee Zii Jia kini berada di landasan yang tepat untuk mempertahankan gelaran Seluruh England yang akan berlangsung pada 16 hingga 20 Mac ini.
Tahun lalu Zii Jia telah berjaya merangkul gelaran Seluruh England selepas menumpaskan pemain nombor satu dunia iaitu Viktor Axelsen dalam pertarungan sengit tiga set.
Bagaimanapun selepas kemenangan di England, prestasi beliau merosot berikutan keletihan selain mengalami kecederaan.
Beliau kemudian telah mencetuskan kontroversi apabila mengambil keputusan untuk meletak jawatan dari Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kerana mahu bergerak sendiri yang mana kemudiannya telah menubuhkan kelab badmintonnya sendiri.
Walaupun kini bergerak sendiri, tetapi Zii Jia berkata tujuan asalnya tidak pernah berubah kerana fokusnya adalah mahu mengharumkan negara dengan usahanya sendiri.
Selepas menubuhkan kelab badminton sendiri, pemain berusia 23 tahun itu telah mengumumkan Indra Wijaya sebagai jurulatihnya.
Terbaru beliau turut mengumumkan beberapa nama baru termasuk pemain veteran Liew Daren sebagai penolong jurulatih dan rakan sepelatih untuk membantunya dalam mencapai misi pingat emas di Sukan Olimpik Paris 2024.
Antara nama lain yang kini bersama kem Zii Jia adalah ahli fisioterapi, Sandra Fiedler (bekas pegawai Institut Sukan Negara) dan jurulatih kecergasan, Lim Joe Heang (dari BAM).
Tambah Zii Jia, beliau teruja apabila akhirnya dapat mengumpulkan dream team -nya setelah sekian lama menginginkannya.
Dalam pada itu, selepas membuka tirai musim 2022 dengan cemerlang apabila membantu skuad badminton negara menjuarai Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 baru-baru ini, Zii Jia akan memulakan kariernya sebagai pemain profesional di Terbuka Jerman yang akan berlangsung esok (8-13 Mac).
Zii Jia akan memulakan saingan menentang pemain dari Belanda, Mark Caljouw yang berada pada ranking ke-27 dunia yang mana beliau dijangka tidak akan berdepan masalah untuk menang.
Jika menang beliau akan menentang samada pemain dari Thailand iaitu Sitthikom Thammasin atau pemain dari Israel, Misha Zilberman.
Bagaimanapun jika beliau layak ke suku akhir, satu perlawanan menarik akan menjadi perhatian sekiranya Liew Daren berjaya menumpaskan Zhao Jun Peng (China) pada pusingan pertama dan menewaskan samada Heo Kwanghee (Korea Selatan) atau Anders Antonsen (Denmark) pada pusing kedua.
Sekiranya Liew Daren berjaya, maka pada perlawanan pusingan ketiga Zii Jia akan menentang penolong jurulatih dan rakan sepelatihnya sendiri untuk layak ke suku akhir.
Peminat kini meletak harapan yang cukup tinggi buat Zii Jia untuk mencipta kejayaan di Terbuka Jerman selepas mempamerkan aksi yang cukup cemerlang pada BATC 2022 yang lalu.
Zii Jia yang tidak lagi berdepan dengan tekanan daripada mana-mana pihak dan bebas mengurus dan berlatih dengan caranya sendiri kini hanya perlu fokus pada permainan badmintonnya sahaja untuk memastikan beliau mampu meraih kejayaan buat diri dan juga negara tercinta.