Lim You seru penyokong ‘penuhkan stadium’ menentang Iraq
Pemain sensasi Malayan Tigress B-17, Lim You, meluahkan rasa syukur dan teruja selepas kemunculannya sebagai pemain gantian berjaya menterjemahkan impak positif buat skuad negara dalam aksi pembuka tirai Kumpulan E Kelayakan Piala Asia Wanita B-17 2027.
Dalam aksi sengit menentang Syria yang menyaksikan Malaysia menang nipis 1-0, Lim You menjadi duri dalam daging buat benteng lawan apabila umpanan (assist) menariknya disempurnakan dengan bijak oleh Qaseh.
“Rasa sangat bagus, tapi saya takkan dapat buat tanpa pasukan saya. Mereka percaya pada saya, dan Kaseh buat penyelesaian yang sangat luar biasa.
Dia berani melangkah ke hadapan dan menyempurnakannya. Kami memang banyak berlatih hantaran lintang (crossing), tapi kami tak ada rancang sesuatu seperti itu secara khusus,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Menurut Lim You, walaupun tidak disenaraikan dalam kesebelasan utama (starting XI), pemain yang menetap di AS ini kekal positif dan menghormati percaturan barisan kejurulatihan demi kejayaan pasukan.
“Mestilah kita semua nak bermula dalam kesebelasan utama untuk rebut tempat itu. Tapi saya percaya sepenuhnya pada pasukan untuk pamerkan aksi terbaik dan menang. Saya cuma bersyukur jurulatih beri kepercayaan untuk saya masuk ke padang.”
Dalam pada itu, Lim You berkata walaupun tumpuan peminat bola sepak tempatan terhadap kelibatnya sedikit pun tidak membuatkannya kekok, sebaliknya memarakkan lagi semangatnya untuk memberikan yang terbaik buat tanah air.
Oleh itu, beliau sempat menagih sokongan padu ekor Harimau Malaya untuk hadir membanjiri stadium bagi aksi seterusnya menentang Iraq pada Khamis ini, jam 9:00 malam.
“Saya sangat bersyukur dan berterima kasih, terutamanya sebab saya menetap di AS. Persekitarannya rasa berbeza dan saya berada jauh, jadi saya sangat hargai sokongan semua orang. Jemput datang pukul 9 malam Khamis ini untuk perlawanan menentang Iraq!.”