“Saya tidak akan halang pemain dapat panggilan kem kebangsaan” – CEO PJ City FC

5,766

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PJ City FC, Ganesan Shanmugam memberitahu pihaknya sedia untuk melepaskan mana-mana pemain mereka sekiranya mendapat panggilan kem kebangsaan kerana ia adalah satu penghormatan buat mereka.

“Saya boleh katakan perkara enggan lepas pemain yang dapat panggilan kem kebangsaan tidak akan berlaku dalam PJ City FC, dan jika anda tahu baru-baru ini ketika saingan Piala AFF B-23 di Kemboja, kami amat bangga apabila tiga pemain kami dipanggil untuk menyarung jersi kebangsaan.

Walaupun ketika itu kami sedang membuat persiapan skuad untuk menghadapi saingan Liga Super musim ini dan ketiga-tiga ini merupakan pemain utama tetapi kami tidak fikir panjang untuk lepaskan mereka,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tambah Ganesan lagi, PJ City bukan sebuah kelab bola sepak sahaja namun boleh dijadikan sebagai platform untuk mencungkil bakat pemain yang boleh bermain untuk negara.


Jelasnya lagi, tidak dinafikan kelab sememangnya penting tetapi menyarung jersi Harimau Malaya adalah lebih penting.

Dalam pada itu, skuad kendalian P. Maniam telah memulakan saingan Liga Super dengan langkah kanan apabila membuat kejutan dengan menewaskan Melaka United FC pada perlawanan pertama mereka.

“Saya sangat berpuas hati dengan persembahan pemain-pemain pada perlawanan menentang Melaka. Banyak perubahan positif yang saya lihat berlaku dalam pasukan berbanding musim lalu.

Kami sepatutnya boleh menang lebih dari satu gol apabila ada dua peluang keemasan yang gagal disempurnakan. Kita semua sedia maklum Melaka bukanlah sebuah pasukan yang senang berikutan mereka mempunyai lima import termasuk penjaring terbanyak Liga Super musim lalu.

Tetapi dengan taktikal yang diterapkan oleh jurulatih dan disiplin tinggi daripada pemain, kita berjaya menjaringkan gol dan mempertahankan kelebihan itu sehingga wisel penamat sekaligus berjaya membawa pulang tiga mata penuh.”

Skuad yang diberi jolokan ‘The Phoenix’ selepas ini akan bertandang ke Stadium Likas untuk bertemu dengan Sabah FC untuk perlawanan kedua Liga Super.

Pada 13 Mac, mereka akan melayan kunjungan Kelantan FC untuk perlawanan pusingan pertama Piala FA.