Pemain import tak tutup peluang, tapi pemain tempatan yang tak cukup bagus
Ya tuan-tuan! Isu paling hangat diperkatakan oleh peminat bola sepak tanah air sudah semestinya membabitkan kuota pemain import dalam saingan Liga Malaysia.
Jika dahulu hanya tiga pemain import dibenarkan, kini kuota tersebut telah dinaikkan kepada lima pemain import tetapi dua kuota import dikhaskan untuk seorang pemain Asia dan seorang pemain Asia Tenggara.
Isu ini bukan sahaja menjadi perdebatan antara peminat bola sepak, tetapi juga di kalangan jurulatih dan pemain bola sepak sendiri.
Ada yang kata bagus ada pemain import kerana mereka dapat bantu kualiti permainan sekaligus menaikkan kualiti Liga Malaysia, namun ada juga yang tidak bersetuju kerana merasakan kehadiran pemain import ini menutup ruang dan peluang untuk pemain muda.
Malah ada juga yang mahu kuota pemain import dikurangkan seperti dahulu iaitu tiga pemain import sahaja kerana sejak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Malaysian Football League (MFL) mengumumkan penambahan kuota pemain import, prestasi skuad kebangsaan Malaysia merosot teruk.
Ada yang menyalahkan pemain import yang terlalu ramai menyebakan ramai pemain tempatan tidak mendapat peluang untuk beraksi di posisi-posisi utama kerana diisi oleh pemain import.
Sememangnya mudah untuk kita menyalahkan sesuatu, tetapi kita perlu melihat dari isu ini secara menyeluruh termasuk melihat pasukan-pasukan di Asia Tenggara lain yang dilihat semakin hari semakin memperlihatkan peningkatan.
Tetapi persoalan utama yang timbul adalah benarkan kehadiran pemain import jejaskan pemain tempatan atau pemain tempatan ketika ini yang tak cukup bagus.
Tak perlu lihat liga jauh seperti Eropah, sebaliknya lihat sahaja liga jiran kita iaitu Liga Thailand. Di sana mereka mempunyai tujuh kuota pemain import tetapi skuad kebangsaan Thailand berjaya muncul juara Piala AFF 2020 baru-baru ini.
Mengapa ini terjadi? Jawapannya mudah, pemain hebat akan muncul dari persaingan sengit . Naluri manusia untuk menjadi yang terbaik sudah ada dalam diri tetapi samada seseorang itu ingin jadi yang terbaik terletak pada diri sendiri.
Bak kata pepatah ‘Jika takut dilambung ombak, jangan berumah ditepi pantai’. Itu adalah pepatah tepat buat pemain yang menyalahkan pihak lain jika dia tidak mendapat peluang bermain.
Pemain-pemain tempatan di Liga Malaysia ketika ini terlalu selesa dengan keadaan sekarang ini kerana walaupun liga tempatan kurang berkualiti, tetapi gaji yang diterima sangat lumayan berbanding pemain di liga negara jiran yang lebih berkualiti.
Impaknya sudah dapat dilihat apabila ramai pemain yang enggan berhijrah ke luar negara kerana gaji yang diterima kecil berbanding di negara sendiri.
Sebab itulah kualiti pemain tempatan berada di takuk lama sahaja dan kini semakin jauh ketinggalan.
Ada juga segelintir netizen yang menyokong pemain yang memilih untuk ke kelab yang mampu memberi gaji lumayan berbanding dapat minit permainan.
Satu sahaja soalan yang ingin ditanya kepada pemain-pemain ini. Anda bermain bola sepak kerana wang atau minat yang mendalam terhadap dunia bola sepak? Jika kerana wang, anda sememangnya ‘parasit’ dalam dunia bola sepak dan tak layak bergelar pemain bola sepak.
Tak perlu mengambil contoh pemain terbaik dunia iaitu Cristiano Ronaldo untuk dijadikan sebagai contoh, sebaliknya lihat sahaja pada kapten Thailand, Chanathip Songkrasin yang kini menjadi pemain termahal di J-League bersama Kawasaki Frontale.
Ketika ini hanya segelintir sahaja pemain tempatan yang berani mengambil risiko untuk berhijrah ke luar negara iaitu Luqman Hakim yang bermain untuk K.V. Kortrijk di Liga Belgium, Amar Makruf bersama kelab AD Alcorcon di divisyen dua Liga Sepanyol serta beberapa lagi.
Jika mentaliti pemain-pemain tempatan ketika ini tidak berubah atau masih lagi mahu menyalahkan pihak lain dari mengubah nasib sendiri, maka tidak mustahil satu hari nanti bola sepak negara akan jahanam.
Majulah sukan untuk negara.