Mampukah Nathan mengembalikan zaman kegemilangan tenpin boling negara?
Semalam telah menyaksikan Datuk Dr P S Nathan telah mengekalkan jawatannya sebagai Presiden Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) untuk sepenggal lagi 2022-2024 tanpa bertanding.
Keputusan itu menyaksikan Nathan menjadi presiden persatuan sukan paling lama menjawat jawatan nombor satu itu iaitu hampir setengah abad iaitu 48 tahun sejak menubuhkan persatuan itu pada 1974.
Beliau yang merupakan pengasas MTBC pernah membawa sukan boling negara ke tahap tinggi terutamanya pada era 1990an yang mana ketika itu nama Malaysia terkenal dalam dunia boling di peringkat antarabangsa.
Ketika itu, boling dunia didominasi oleh pemain boling wanita iaitu Shalin Zulkifli yang mencetuskan fenomena sukan boling dikalangan rakyat Malaysia.
Beliau juga dianggap antara pemain boling paling berjaya dalam sejarah negara kerana berjaya merangkul pelbagai gelaran samada di peringkat kebangsaan, Sukan SEA, Sukan Asia, Sukan Komanwel dan juga dunia.
Walaupun sudah bersara sebagai pemain boling, namun cintanya terhadap sukan itu masih lagi mendalam dan Ratu Boling negara terus menabur bakti dalam sukan itu apabila berkhidmat untuk MTBC yang mana ketika ini beliau dilantik sebagai salah seorang naib presiden bagi setiap zon negeri.
Entah di mana salah silapnya, prestasi sukan boling negara dilihat semakin merosot dari tahun ke tahun dan Malaysia kini bukan lagi kuasa besar dunia dalam sukan tersebut.
Apa yang sudah berlaku? Adakah kita sudah semakin kekurangan pemain boling? Atau sukan boling kini sudah tidak sepopular dahulu?
Jika hendak dikatakan tidak popular agak mustahil kerana jika anda ke pusat boling di mana-mana sahaja, pasti anda akan melihat ramai yang masih bermain boling secara santai bersama rakan atau keluarga.
Adakah disebabkan tiada program pembangunan akar umbi boling? Atau bajet untuk sukan boling semakin dikurangkan? Agak mustahil jika hendak mengatakan Malaysia sudah ketandusan bakat boling yang hebat kerana kita mempunyai ramai bakat muda.
Mungkinkah kurangnya pertandingan kompetitif membuatkan pemain boling negara sedia ada ketika ini berasa selesa menyebabkan prestasi mereka semakin merosot.
Pada tahun ini skuad boling negara mempunyai dua temasya besar iaitu Sukan SEA Vietnam dan Sukan Asia China yang mana kedua-dua temasya ini mempertandingkan sukan boling.
Inilah masa untuk MTBC mengembalikan zaman kegemilangan boling untuk sekali lagi menjadi kuasa besar boling dunia.
Mungkin mereka boleh menganjurkan kejohanan boling di peringkat kebangsaan secara sirkit untuk memastikan pemain-pemain boling negara akan sentiasa konsisten dan bersedia untuk mana-mana kejohanan yang disertai.