Masih terlalu awal untuk kata saya sudah capai kejayaan – Khatul Anuar

1,217

Penjaga gol Penang FC, Khatul Anuar berkata masih terlalu awal untuk mengatakan beliau sudah mengecapi kejayaan selepas beraksi cemerlang dalam dua perlawanan Liga Super.

Menurut Khatul, beliau pada mulanya tidak menyangka apabila ketua jurulatih menyenaraikannya dalam kesebelasan utama ketika perlawanan pertama menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) berikutan Penang mempunyai penjaga gol berpengalaman iaitu Hafizul Hakim.


“Apabila saya datang ke Penang saya sudah sedia maklum Hafizul juga ada, tetapi saya yakin jika saya berusaha rezeki pasti ada. Sejak latihan hari pertama saya memang bekerja keras untuk memikat hati jurulatih.

Alhamdulillah usaha keras saya terbalas. Saya sebenarnya tak sangka apabila jurulatih senaraikan nama saya dalam kesebelasan utama menentang JDT, tapi saya melihat ia dari sudut positif,”

katanya kepada Harimau Malaya.
Sumber foto: Penang FC Facebook

Pada perlawanan menentang JDT, Khatul mempamerkan aksi yang cukup cemerlang apabila banyak menyelamatkan pintu gol skuad Harimau Kumbang itu dari dibolosi.

Malah juara lapan kali Liga Super itu hanya memecah kebuntuan pada separuh masa kedua dan selepas itu gagal mencari gol kedua.

Semalam ketika Penang menentang Melaka United FC, Khatul sekali lagi membuktikan bahawa dirinya sudah bersedia untuk menjadi penjaga gol utama pasukan itu apabila membantu pasukannya seri 1-1 di Stadium Bandaraya.

Dalam pada itu, Khatul yang ditanya samada beliau mahu menyertai kem kebangsaan untuk perlawanan persahabatan pada hujung bulan ini sekiranya dipanggil, beliau tidak akan teragak-agak untuk sarung jersi Harimau Malaya.

“Sekiranya saya dipanggil sudah pasti saya akan pergi. Semua pemain mahu main untuk negara.”

Sementara itu, Khatul mengakui pasukannya kini bergelut kerana kehilangan tiga pemain import mereka dan sangat mengharapkan sokongan daripada penyokong untuk terus meniupkan semangat supaya moral pemain berada dalam tahap terbaik.

Pada 11 Mac, Penang akan melayan kunjungan pasukan dari Liga M3 iaitu Bukit Tambun FC untuk perlawanan pusingan pertama Piala FA.