Mangsa mercun di Stadium Cheras tak akan serik ke stadium
Baru-baru ini ketika perlawanan pertama Liga Super antara KL City FC menentang Selangor FC telah menjadi kecoh apabila berlakunya insiden pergaduhan dan baling antara penyokong di luar stadium selepas tamat perlawanan.
Ketika situasi tegang, salah seorang penyokong iaitu Johan telah menjadi mangsa apabila salah satu mercun yang dibaling meletup di kakinya menyebabkan dia mengalami kecederaan yang agak serius.
Walaupun berdepan situasi yang menakutkan, anak muda berusia 22 tahun itu tidak serik ke stadium lagi selepas ini.
“Walaupun ibu trauma dengan apa yang terjadi, namun ia tidak menjejaskan semangat saya untuk terus turun ke stadium.
Saya tidak serik dan akan terus ke stadium untuk menyokong pasukan kegemaran saya KL apabila mereka main di sini,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Johan turut membuka cerita mengenai insiden yang berlaku sehingga menyebabkan kaki berlubang akibat terkena mercun yang dibaling.
Menurutnya, ketika kejadian dia sedang berada di kawasan parking kereta kerana sedang menunggu pemilik kenderaan yang menghalang keretanya datang, tetapi secara tiba-tiba mercun yang dibaling perusuh hinggap ke kakinya dan terus meletup.
Dia bagaimanapun tidak terus ke hospital sebaliknya pulang ke rumah dahulu sebelum ibunya melihat luka kecederaan yang agak serius dan terus membawanya ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Dalam pada itu, ibu kepada Johan iaitu Puan Natera berasa sangat berang dan kecewa dengan insiden yang berlaku terhadap anaknya.
Apa yang lebih mengecewakan adalah pihak KL City FC yang langsung tidak menghubungi untuk bertanyakan keadaan anaknya, sebaliknya pihak Malaysian Football League (MFL) yang menghubungi mereka bertanya ada apa yang mereka perlukan boleh maklumkan kepada mereka.
Pada masa sama dia turut mempersoal mengapa pihak bertanggungjawab lambat bertindak ketika insiden berlaku.
“Ketika insiden berlaku hanya sedikit sahaja pihak berkuasa yang datang meleraikan pergaduhan dan selepas itu tiada langsung pihak medik yang datang untuk melihat samada ada mangsa yang memerlukan rawatan segera atau tidak. Saya sangat kecewa dengan respon pihak berkuasa.”
Natera berharap agar insiden seperti ini tidak lagi berlaku dan sangat berharap agar penyokong mana-mana pasukan bersikap matang dan elak dari merusuh kerana yang menjadi mangsa adalah mereka yang tidak bersalah.
Walaupun trauma untuk membenarkan anaknya ke stadium buat masa ini, namun dia tidak akan menghalang kerana Johan sememangnya seorang penyokong tegar bola sepak dan akan turun ke stadium setiap kali ada perlawanan.