Selamat tinggal De Paula, selamat kembali Liridon Krasniqi

13,092

Ketua jurulatih baru kebangsaan, Kim Pan-gon telah menyenaraikan 30 pemain yang akan dipanggil untuk menyertai kem latihan pusat skuad Harimau Malaya bermula 14 Mac ini bagi menghadapi perlawanan antarabangsa Tier 1 (FAS Tri-Nations Series 2022).

Menariknya dalam senarai terbaru ini, pemain naturalisasi sensasi Guilherme de Paula tidak disenaraikan, tetapi khidmat seorang lagi pemain naturalisasi yang kini beraksi di Liga Super India (ISL) iaitu Liridon Krasniqi kembali ditagih.


Kembalinya Liridon atau nama panggilannya Mat Don bersama skuad negara selepas beliau diiktiraf sebagai ‘Raja Gelecek’ ISL untuk musim 2021/22 apabila statistic memaparkan belia mempunyai purata 91.67% kejayaan melepasi lawan hasil skil individunya.

Sumber foto: FAM

Secara keseluruhannya seramai terbaru ini boleh dikatakan pilihan ‘selamat’ Pan-gon apabila beliau turut menyenaraikan 15 daripada 24 pemain Harimau Malaya ke Piala AFF 2020 hujung tahun lalu.

Mereka terdiri daripada Syahmi Safari, Aidil Zafuan Abd Radzak, Shahrul Saad, Arif Aiman Hanapi, Safawi Rasid, Akhyar Rashid, Khairulazhan Khalid, Quentin Cheng, Faisal Halim, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi, Kogileswaran Raj, Syafiq Ahmad, Dominic Tan, Luqman Hakim Shamsudin dan Dion Cools.

Pemain pertahanan Sabah FC, Rizal Ghazali turut dipanggil tetapi diletakkan dalam senarai bersedia.

Selain itu, penjaga gol muda tinggi lampai Terengganu FC iaitu Rahadiazli Rahalim turut dipanggil bersama Kalamullah Al-Hafiz bagi memperkuatkan benteng terakhir negara.

Pada masa sama pemain pertahanan kiri Negeri Sembilan FC iaitu Khair Jones yang sudah lama tidak dipanggil kembali mendapat panggilan selepas mempamerkan aksi cemerlang baru-baru ini. Pemain Sri Pahang FC, Nor Azam Azih juga kembali dipanggil setelah sekian lama.

Dalam pada itu, Mohamadou Sumareh yang sebelum ini mencetuskan kontroversi apabila didakwa menolak panggilan kem negara turut disenaraikan.

Tetapi agak mengejutkan apabila pemain pertahanan Kedah Darul Aman FC iaitu Rodney Celvin tidak tersenarai walaupun dalam senarai bersedia, sedangkan beliau ketika ini berada pada prestasi cemerlang sejak musim lalu.

Skuad negara akan menjalani latihan selama lapan hari sebelum terbang ke Singapura pada 22 Mac.

Malaysia akan menentang Filipina pada 23 Mac, Singapura pada 26 Mac dan akan terakhir akan menentang Albirex Niigata FC Singapore pada 28 Mac.

Ini adalah ujian pertama Pan-gon sebagai pengendali skuad Harimau Malaya sebagai persiapan untuk menghadapi pusingan kelayakan Piala Asia 2023 yang akan berlangsung pada Jun depan.