Tolong jangan layan kami macam sampah – Pemain belia Perak FC
Pemain belia Perak FC menggesa supaya pihak pengurusan tampil bertemu dengan mereka untuk menjelaskan situasi sebenar kepada mereka mengenai situasi mengenai tunggakan gaji mereka dan juga karier bola sepak mereka.
Menurut wakil pemain skuad belia, mereka sangat kecewa apabila dibiarkan tergantung apabila tiada seorang pun wakil dari pihak pengurusan tampil bertemu untuk bertanyakan keadaan mereka.
“Tolong jangan layan kami macam sampah. Sehingga kini kami masih tidak tahu apa sebenarnya yang terjadi kerana tiada wakil pihak pengurusan yang datang berjumpa dengan kami untuk jelaskan masalah tunggakan gaji.
Kami kini dalam kesempitan wang dan tiada wang untuk makan. Nasib baik ada penyokong yang bermurah hati datang bantu memberi makanan,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Disebalik masalah tunggakan gaji, namun mereka tidak terlalu memikirkan soal wang kerana apa yang mereka mahukan adalah minit perlawanan.
“Kami sepatutnya memulakan saingan Piala Belia pada bulan Februari menentang Penang FC, malangnya dua hari sebelum hari perlawanan kami dimaklum perlawanan dibatalkan tanpa memberikan sebab.
Ketika itu kami tetap meneruskan latihan seperti biasa tetapi apabila mendapat tahu perlawanan kedua dan ketiga akan turut ditunda, kami dimaklumkan oleh jurulatih untuk tidak lagi datang berlatih.”
Tambahnya lagi, tindakan yang dilakukan oleh pihak pengurusan yang terus berdiam diri tanpa memberi sebarang kata putus seperti menutup periuk nasi mereka sekaligus menjejaskan karier bola sepak mereka.
Jelasnya lagi, sebagai seorang pemain bola sepak mereka perlu terus berlatih dan beraksi secara kompetitif untuk mengekalkan prestasi.
“Minta sangat pihak pengurusan beri kata putus kepada kami supaya kami dapat teruskan kariernya. Mungkin kami boleh dipinjamkan kepada pasukan lain atau tamatkan kontrak kami supaya kami bebas mencari pasukan baru.”
Rata-rata pemain belia ini tidak berani membuka mulut mengenai masalah yang dihadapi mereka kerana bimbang kontrak mereka akan terjejas dan situasi ini membuatkan mereka berasa seperti ‘sudah jatuh ditimpa tangga’.
Ketika ini mereka sudah pun mula mencari pasukan baru sebelum jendela perpindahan kedua pada bulan Mei ini.
Dalam pada itu, bukan sahaja pemain yang terjejas tetapi barisan kejurulatihan dan keseluruhan staf skuad belia turut menerima nasib yang sama dan lebih parah lagi mereka sudah lebih setengah tahun tidak dapat bayaran.
Mereka kini berada keadaan yang amat parah dan amat memerlukan bantuan demi kelangsungan hidup.
Terdahulu, pemain tengah skuad Liga Perdana iaitu Muhammad Firdaus Saiyadi telah menyuarakan hasrat untuk meninggalkan pasukan itu pada tengah musim ini selepas berdepan masalah gaji.