Demi lencana di dada atau demi sesuap nasi?

4,094

Mentaliti peminat bola sepak tanah air ketika ini masih lagi belum berubah apabila sering memberi tumpuan kepada pemain anak jati dan ‘demi lencana di dada’ apabila membabitkan pasukan-pasukan bola sepak di Malaysia ketika ini.

Tidak dapat dinafikan sifat kenegerian sangat tebal dikalangan peminat yang rata-rata mahukan pemain berasal dari negeri itu sendiri bermain untuk pasukan mereka, tetapi mereka sudah lupa bahawa bola sepak adalah kerjaya profesional dan kini sudah mula beralih ke era penswastaan.


Apabila bercakap mengenai anak jati ini, pasukan yang sinonim dengan gelaran itu lebih terarah kepada beberapa pasukan seperti Kedah Darul Aman FC, Perak FC, Kelantan FC dan Terengganu FC yang mempunyai ramai pemain muda berbakat besar.

Lahirnya ramai pemain-pemain muda berbakat besar ini adalah hasil dari kerja keras pasukan itu dalam pembangunan bola sepak, jadi tidak hairanlah beberapa pasukan ini boleh dikatakan merupakan ‘kilang’ pemain buat pasukan-pasukan lain.

Kejayaan itu sudah semestinya menarik minat pasukan lain terutamanya pasukan besar seperti Johor Darul Ta’zim (JDT) yang sangat terkenal kerana sering membeli pemain-pemain bintang untuk memperkuatkan pasukan mereka.

Ia kemudian telah mencetuskan ketidakpuasan hati oleh penyokong lawan yang kemudian melontarkan tohmahan yang mendakwa ‘buat apa ada fasiliti bertaraf dunia kalau tak boleh lahirkan pemain tempatan berkualiti’.

Namun penyokong lupa bahawa industri bola sepak sudah berkembang dan ia merupakan satu perniagaan, oleh itu sifat kenegerian dan anak jati ini sepatutnya diubah.

Sebagai contoh, lihat sahaja apa yang berlaku pada pasukan di Perak FC ketika ini. Pasukan The Bos Gaurus mempunyai ramai pemain anak jati yang sanggup menolak tawaran dari pasukan lain demi negeri sendiri.

Malangnya, komitmen mereka terhadap pasukan negeri mereka tidak dihargai apabila gaji mereka tidak dibayar berbulan-bulan sehingga menyebabkan mereka berdepan dengan kesukaran meneruskan kehidupan harian mereka.

Demi lencana di dada dan anak jati sudah tidak relevan kerana ia tidak boleh beri pemain makan, sebaliknya pemain perlu bijak dalam merancang karier bola sepak mereka dan berhijrah ke pasukan yang stabil dan tiada masalah gaji.

Sememangnya tidak dinafikan jika seseorang berniat mahu membantu pasukan yang mencungkil dan melatihnya sehingga menjadi seorang pemain hebat, tetapi jika ia menjejaskan periuk nasi sendiri rasanya pemain itu sudah boleh mencari pasukan baru.

Dalam dunia bola sepak moden, tidak relevan untuk menjadikan slogan ‘demi lencana di dada’ dan ‘anak jati’ sebagai modal, sebaliknya penyokong perlu ubah mentaliti kerana pasukan di Liga Malaysia ketika ini bakal diswastakan sepenuhnya, maka sifat kenegerian itu sudah boleh dikurangkan.

Jika mahu gunakan slogan ‘demi lencana di dada’, rasanya ia patut ada pada setiap pemain ketika menyarung jersi Harimau Malaya.