Format Piala FA perlu dirombak untuk jadikannya lebih menarik

8,100

Saingan Piala Malaysia sudah pun membuka tirai dengan peminat disajikan dengan perlawanan ‘berat sebelah’ dengan menyaksikan kesemua pasukan dari Liga M3 gagal mara ke pusingan kedua apabila dibelasah lawan masing-masing.

Walaupun ada peminat yang gembira melihat jaringan besar seperti Johor Darul Ta’zim (JDT) menang 10-0 ke atas BRM FC, KL City FC menang 8-0 menentang Langkawi City FC, Sarawak United FC menang 7-0 dengan Ultimate FC dan beberapa lagi, ada segelintir peminat berasa sebaliknya.


Sumber foto: KLFC Facebook

Ini kerana perlawanan pusingan pertama Piala FA pada edisi kali ini seperti mahu menyingkirkan kesemua pasukan dari Liga M3 dari layak ke pusingan kedua dan seterusnya.

Sebenarnya tiada apa yang perlu dibanggakan apabila pasukan dari Liga Super membelasah pasukan Liga M3 kerana taraf mereka bagai langit dengan bumi berikutan pasukan dari Liga Super dan Liga Perdana adalah profesional manakala pasukan M3 pula amatur.

Tidak dapat dinafikan peminat mahukan pasukan kesayangan mereka menang, pada masa sama mereka juga perlu ada common sense dan sentimen apabila bertemu dengan pasukan yang bukan setaraf mereka.

Sumber foto: JST Facebook

Mengambil contoh di luar negara, apabila pasukan dari liga divisyen utama bertemu dengan pasukan dari liga divisyen 3, 4 atau 5 mereka tidak akan bangga diri apabila berjaya belasan pasukan yang tidak setaraf dengan mereka, sebaliknya mereka akan turunkan skuad B atau C sahaja bagi menghormati lawan mereka.

Dengan cara ini mereka dapat memberi ruang dan peluang untuk pasukan kerdil sekurang-kurangnya dapat bersaing kerana ia dapat memberi semangat kepada mereka.

Mungkin pasukan-pasukan besar dalam liga utama boleh mengikut jejak langkah juara bertahan Kedah Darul Aman FC yang menurunkan seratus peratus pemain muda tempatan dalam perlawanan menentang Sains FC.

Sumber foto: KDA FC Facebook

Ia bukan sahaja dapat memberi pendedahan dan minit permainan kepada pemain muda tetapi juga dapat memberi peluang kepada pasukan lawan memberi saingan.

Pihak bertanggungjawab iaitu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Malaysian Football League (MFL) seharusnya mewujudkan suasana bola sepak yang mendidik, membantu dan menyokong pasukan antara satu sama lain.

Dengan pasukan M3 sudah dua tahun tidak beraksi, jelas terpapar kelemahan dan kualiti permainan yang dipamerkan oleh mereka.

Untuk menjadikan saingan Piala FA lebih menarik, undian pasukan sebaliknya tidak diasingkan di antara pasukan Liga Super, Liga Perdana dan Liga M3 supaya undian akan menjadi lebih adil dan menarik. Malah, pasukan Liga M3 patut diberi peluang menjadi tuan rumah.

MFL juga boleh memberi bye kepada pasukan yang bermain di Piala AFC dan ACL yang mana mereka akan bermain di pusingan ketiga.

Sumber foto: Sarawak FC Facebook

Jika masih mahu mengekalkan undian yang sama, MFL patut tetapkan mana-mana pasukan dari Liga Super dan Liga Perdana yang akan menentang pasukan dari M3 perlu menggunakan pemain tempatan sahaja. Ini akan menjadikan saingan Piala FA lebih menarik lagi.

Paling penting adalah perlawanan akhir wajib berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil sahaja.

Selepas dua tahun tidak dianjurkan, Kedah masih lagi bergelar sebagai juara bertahan dan pasukan manakah yang bakal menjulang trofi Piala FA kali ini? Adakah Kedah akan mempertahankan kejuaraan mereka atau kita bakal menyaksikan juara baru? Sama-sama kita tunggu.