Apa macam? KL City FC ikut jejak langkah Perak FC?

23,659

Apa sudah jadi dengan KL City FC? Selepas berjaya mencipta kejutan membenam Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam final Piala Malaysia musim lalu, The City Boys kini berdepan kemelut ‘normal’ dalam Liga Malaysia.

KLCFC yang sebelum ini terkenal sebagai pasukan yang sangat sederhana dalam perbelanjaan pasukan kini dihimpit isu tunggakan gaji sejak awal tahun ini.


Perkara itu didedahkan sendiri oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Abdul Samad yang mendedah mereka gagal mendapat RM5 juta daripada syarikat yang berminat untuk membeli 50 peratus saham KLCFC.

Kemelut yang berlaku dalam KLCFC ini dikatakan berpunca daripada perebutan kuasa daripada dua ahli politik dari fahaman berbeza.

Terdahulu CEO KL, Stanley Bernard dikatakan akan meletak jawatan bersama Khalid selepas mendapat tekanan daripada pihak tertentu yang mahu mengambil alih pengurusan KLCFC.

Skuad yang diberi jolokan The City Boys juga berdepan situasi getir sekiranya Stanley letak jawatan kerana jawatan ketua jurulatih Bojan Hodak juga akan terjejas.

Bojan yang dihubungi Harimau Malaya enggan mengulas lanjut mengenai isu ini kerana sudah muak, pada masa sama mahu berehat seketika dari dunia bola sepak.

“I had enough football, we can meet after holidays,”

katanya.

Kerana tamakan kuasa pihak yang ingin ambil alih KLCFC ini sangat berpengaruh sehinggakan penaja-penaja baru takut untuk menyalurkan wang sekaligus menyebabkan gaji pasukan tertunggak dua bulan.

Betul apa yang diperkatakan oleh ramai peminat bola sepak iaitu sesebuah pasukan boleh jahanam apabila ahli politik masuk campur.

Ini kerana mereka bukannya cintakan bola sepak, sebaliknya hanya mahu jawatan demi kepentingan diri sendiri.

Oleh sebab itu pasukan bola sepak dalam Liga Malaysia perlu diswastakan dengan segera supaya tiada lagi campur tangan orang politik kerana ia bukan dapat memajukan sukan nombor satu negara, tetapi menjahanamkan.

Tak perlu nak bawa budaya dan perangai gila kuasa dalam politik masuk sukan bola sepak kerana peminat sangat benci.

Mungkin mereka lupa apa yang terjadi pada bekas Presiden Kedah Darul Aman FC sebelum ini? Datuk Seri Ahmad Bashah pernah di ‘boo’ oleh penyokong ketika datang ke stadium untuk menyaksikan skuad Kedah turun beraksi.

Tidak mustahil insiden sama akan berulang sekiranya pihak yang didakwa berjaya mengambil alih pasukan KLCFC.

Apa nak jadi dengan bola sepak tanah air sekiranya isu orang politik campur tangan masih berterusan?