Kemelut KL City FC berpunca dari pertukaran Menteri Wilayah baru
Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), YB Khalid Abdul Samad mendedahkan kemelut yang menimpa KL City FC berpunca dari pertukaran Menteri Wilayah yang baru.
“Apabila jatuhnya kerajaan, kedudukan saya sebagai Presiden KLFA sudah tidak begitu kukuh. Walaupun risau tapi kami berusaha untuk adakan hubungan yang baik kerana bagi saya bola sepak dan politik tak sepatutnya dicampur.
Kita sepatutnya berganding bahu dan bekerjasama untuk majukan bola sepak KLCFC dan kembalikan zaman kegemilangan pasukan satu ketika dahulu dan perbezaan politik tidak sepatutnya menjadi masalah,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Khalid turut mengakui bahawa pihak pengurusan KLCFC cuba menyembunyikan isu dalaman yang berlaku dalam pasukan kerana tidak mahu isu ini diperbesarkan sekaligus dapat menjejaskan semangat pasukan.
“Secara umumnya kita tunjukkan kita okay yang mana ketika itu saya dan Menteri Wilayah iaitu Tan Sri Annuar Musa duduk bersama buat PC (sidang media) bersama, tetapi hakikatnya saya rasa mereka ada agenda lain.”
Tambah Khalid lagi, apabila masuk musim 2021 yang mana pasukan KLCFC berjaya naik ke Liga Super, mereka mengharapkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan terus bekerjasama dengan mereka tetapi sebaliknya berlaku.
Menurutnya pada mulanya semua berjalan dengan lancar dan DBKL sepatutnya memberikan RM5 juta untuk tahun 2021, tetapi ia diberi dalam ansuran yang mana bayaran pertama berjumlah RM2.5 juta.
“Selepas menerima dana RM2.5 juta, kita bincang mengenai penswastaan yang mana kita nak syarikat swasta beli 50 peratus saham pasukan. Tan Sri Annuar Musa kemudian mencadangkan syarikat kenalannya dan jika kita terima cadangan itu baru kita akan dapat lagi RM2.5 juta.
“Pada mulanya syarikat itu setuju untuk beli 50 peratus saham dengan harga RM5 juta, malangnya syarikat itu hanya bayar RM1.3 juta sahaja. Apabila kami minta bayaran itu, syarikat itu berkata duit RM5 juta dari DBKL itu adalah duit saham syarikat itu.”
Jelas Khalid lagi, pihaknya kemudian telah memberi tempoh untuk membuat bayaran, namun tiada bayaran dibuat jadi mereka telah mengeluarkan surat menamatkan kontrak.
Bagaimanapun apabila syarikat itu mendapat surat tamat kontrak, mereka membawa perkara ini ke mahkamah.
Walaupun pada mulanya tidak mahu peminat tahu, tapi apabila keadaan menjadi tidak terkawal Khalid terpaksa mendedahkannya.
Situasi kucar-kacir yang berlaku dalam KLCFC ini berpunca dari perebutan kuasa politik mampu menjahanamkan skuad The City Boys yang kini berada dalam prestasi terbaik untuk saingan Liga Super.
Terdahulu kecoh apabila pemain, barisan kejurulatihan dan staf terpalit dengan isu tunggakan gaji.