Khalid Samad mahu undur dari KLFA dengan cara terhormat

960

Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), YB Khalid Abdul Samad berkata beliau sanggup mengundurkan diri dengan cara terhormat demi membantu pemain, barisan kejurulatihan dan staf KL City FC.

Menurut Khalid, beliau kini sedang berusaha keras untuk mencari penaja bagi memastikan pihak pengurusan skuad yang diberi jolokan The City Boys mampu membayar gaji yang tertunggak, bagaimanapun jika tidak dapat juga beliau akan letak jawatan.


“Kalau saya tak dapat cari duit untuk bayar gaji, dan jika syarat untuk mendapatkan duit saya perlu letak jawatan saya akan berbuat demikian supaya semua dapat gaji,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Khalid berkata sekiranya beliau meletak jawatan, jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Stanley Bernard dalam bahaya kerana pihak yang berminat untuk membeli saham KLCFC sudah awal-awal lagi memaklumkan mereka tidak mahu Stanley.

Menurut Khalid, pihak yang berminat untuk membeli saham pasukan KLCFC merupakan kenalan kepada Menteri Wilayah (Tan Sri Annuar Musa).

“Jika pihak itu beli saham KLCFC mereka sudah awal-awal lagi beritahu tidak mahu Stanley sebagai CEO. Sebab apa? Sebab Stanley tak nak jadi pak turut.”

Tambahnya lagi, sekiranya Stanley sudah tidak bersama dengan KLCFC, sudah pasti Bojan Hodak akan mengikut jejak langkah sama kerana ketua jurulatih dari Croatia ini bersetuju untuk kembali mengendalikan pasukan di Liga Malaysia kerana dipujuk Stanley.

Sekiranya ia terjadi, Khalid yakin suasana dalam kem KLCFC akan menjadi tegang dan tidak harmoni.

Dalam pada itu, Khalid berkata beliau tidak serik dan akan kembali akan kembali mengemudi pasukan bola sepak sekiranya mendapat lagi peluang selepas ini.