Perak FC bakal dapat pemilik baru?

11,940

Selepas kemelut tunggakan gaji oleh pasukan Perak FC tampak seperti tiada noktah, kini peminat boleh menarik nafas lega sedikit apabila pasukan itu dikatakan bakal mendapat pemilik baru tidak lama lagi.

Menurut satu sumber kepada Harimau Malaya, pemilik baru itu dikatakan akan mengadakan perbincangan dengan Malaysian Football League (MFL) dalam masa terdekat ini.


“Pemilik baru ini dikatakan bersedia untuk langsaikan segala tunggakan gaji melanda pasukan Perak FC tetapi bersyarat,”

katanya.

Syarat yang ditetapkan oleh bakal pemilik baru itu adalah pemilik Perak ketika ini iaitu Impact Media Communication (IMC) perlu ‘ditendang’ keluar.

Jika berita yang dikatakan benar ia pasti akan membuatkan pemain, barisan kejurulatihan dan staf skuad yang diberi jolokan The Bos Gaurus berasa gembira kerana mereka sudah lama sengsara dengan pihak pengurusan lama yang seperti tidak prihatin dengan situasi mereka.

Terdahulu Harimau Malaya telah bertemu dengan pemain dari Piala Belia dan staf pasukan yang tampil berkongsi kesusahan mereka apabila dibiarkan sengasara tanpa gaji selain dibiarkan tergantung tanpa khabar berita.

Situasi parah yang dihadapi oleh pemain belia Perak mendapat perhatian penyokong Perak sendiri yang mengambil inisiatif sesama penyokong dengan menghulurkan bantuan makanan untuk kelangsungan hidup mereka.

Terbaru, Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak pula menyelamatkan skuad Piala Presiden Perak apabila bersetuju menjadikan skuad itu sebagai ‘anak angkat’.

Skuad ‘anak angkat’ MSN Perak ini akan mewakili Perak dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) kelak.