Kenapa Rizal Ghazali masih senyap sehingga kini?

760

Selepas berita mengenai penarikan diri pemain pertahanan Sabah FC, Rizal Ghazali ramai yang tertanya-tanya punca pemain itu menarik diri tanpa memberi sebarang alasan munasabah.

Susulan tiada sebarang kenyataan dari Rizal, ramai yang mempersoalkan tindakan pemain berasal dari Kedah itu sehingga Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) turut mengatakan pemain itu bakal berdepan hukuman berat jika masih menolak panggilan kem kebangsaan.


Pemain kebangsaan itu mempunyai masa sehingga 21 Mac untuk tampil memberi surat tunjuk sebelum ia dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib FAM.

Antara hukuman yang menanti beliau adalah denda RM25,000 atau digantung perlawanan yang akan ditentukan oleh FAM kelak.

Sumber foto: Sabah FC Facebook

Tindakan Rizal ini sebenarnya mengejutkan ramai peminat bola sepak kerana sebelum ini beliau tidak pernah menolak pelawaan untuk skuad kebangsaan.

Harimau Malaya cuba mendapatkan komen daripada pemain itu sendiri tetapi beliau gagal dihubungi.

Melihat di laman sosial Instagram milik Rizal, kali terakhir beliau memuat naik foto tiga hari lalu yang mana beliau dalam penerbangan pulang ke kampung halaman susulan saingan liga berehat untuk beri laluan pada perlawanan persahabatan antarabangsa.

Dalam kapsyen foto yang dimuat naik beliau memberitahu beliau balik kampung untuk melawat keluarga.

Sumber foto: Sabah FC Facebook

Adakah tindakan Rizal menolak panggilan kem kebangsaan sebagai protes berikutan namanya tersenarai dalam senarai standby dan bukannya dalam skuad utama tetapi dipanggil apabila Syahmi Safari juga tidak dapat sertai kem negara?

Atau tindakan Rizal ini mahu memberi ruang dan peluang kepada pemain muda lain untuk menyarung jersi Harimau Malaya? Adakah beliau mempunyai masalah keluarga sebab itu beliau mengambil pendekatakan untuk kunci mulut dari membuat sebarang kenyataan? Itu adalah antara persoalan yang menjadi tanya tanya ramai peminat sehingga kini.

Walau apa pun alasannya, Rizal diharap dapat tampil membuat kenyataan untuk menjelaskan situasi sebenar supaya tiada pihak dapat membuat spekulasi liar berkaitan tindakannya itu.

Ini bukannya satu keputusan yang mengejutkan oleh Rizal kepada peminat kerana pada hujung musim lalu beliau dan Baddrol Bakhtiar telah mengejutkan ramai penyokong bola sepak tanah air terutamanya penyokong Kedah Darul Aman FC (KDA FC) sendiri apabila mengumumkan mereka akan berhijrah ke Sabah FC.

Biarpun keputusan kedua-dua pemain itu mengejutkan ramai pihak, tetapi penyokong setia Hijau Kuning menyambut baik keputusan mereka dan mengucapkan selamat maju jaya buat mereka dua.

Kini ramai yang berharap agar Rizal segera tampil untuk beri penjelasan. Jika tiada alasan yang diberikan, maka beliau perlu bersiap sedia untuk berdepan sebarang tindakan dari FAM.