Kalau Perak FC jatuh ke Liga M3, kami tetap akan sokong – Ultras Perak
Pasukan Perak FC yang kini berdepan situasi kucar-kacir apabila berdepan dengan isu masalah gaji dijangka akan dikenakan hukuman pemotongan mata oleh Malaysian Football League (MFL) sekiranya tidak dapat melunaskan tunggakan.
Perak kini mempunyai tempoh sehingga hujung bulan ini untuk melangsaikan segala tunggakan gaji jika tidak mahu pemotongan mata dikenakan kepada mereka.
Jika mereka tidak mampu juga, maka pemotongan mata akan dibuat secara berterusan sehingga Perak mampu menjelaskan kesemua hutang mereka dan tidak mustahil mereka akan jatuh ke saingan Liga M3.
Sekiranya perkara ini berlaku, penyokong tegar skuad The Bos Gaurus iaitu Ultras Perak akui kecewa tetapi akan tetap menyokong pasukan kesayangan mereka itu.
“Bagi saya dan rakan seperjuangan saya, kami akan tetap bersama Perak sebab itu yang kita bawa, itulah maruah kita, jadi kita kena jaga. Jika turun pun, kita tetap ada.
Cuma kalau turun M3 disebabkan pengurusan saya rasa benda ni tak patut berlaku. Tapi jika nasib tidak menyebelahi atau kita tidak ada duit maknya kita tidak dapat ambil pemain-pemain hebat, maka kalau kita jatuh M3 ia tidak akan menjadi masalah,”
kata wakil Ultras Perak iaitu Faeez Gibson kepada Harimau Malaya.
Tambahnya lagi, Perak merupakan satu-satunya pasukan yang tidak pernah jatuh ke divisyen dua dalam tempoh 100 tahun tetapi pada tahun 2021 akhirnya jatuh ke Liga Perdana pada musim 2022.
Faeez yang ditanya mengenai khabar angin yang mengatakan ada pihak yang berminat untuk membeli pasukan Perak, beliau enggan terlalu gembira kerana khabar angin seperti itu sudah banyak kali didengari.
“Jika pemilik baru pun sama macam pemilik ketika ini baik tak payah beli. Saya sendiri sudah banyak kali dengar ada pihak-pihak tertentu nak beli. Bagi saya jika nak beli biar betul-betul ada duit baru ambil. Saya tak kisah, janji perjalanan pasukan berjalan lancar tanpa masalah dan kami sebarang penyokong akan terus menyokong.”
Dalam pada itu, Faeez turut menyuarakan pandangannya terhadap ahli politik yang terlibat dalam dunia bola sepak yang mana beliau 50/50 (nak dan tak nak) ahli politik dalam pasukan bola.
Beliau okay sekiranya ahli politik itu seorang yang mempunyai minat mendalam dalam sukan bola sepak dan mahu majukan sesebuah pasukan.
Tetapi beliau menolak ahli politik yang gunakan pasukan bola sepak untuk mileage politik dan kepentingan diri sendiri.