FAM patut wujudkan AWFL untuk perkasa bola sepak wanita

333

Pengasas KL Women’s Football, Khushairi Aizad Jamalludin berharap agar Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan mewujudkan Amateur Woman Football League (AWFL) bagi memperkasakan bola sepak wanita yang dilihat masih lagi ketinggalan berbanding bola sepak lelaki.

Menurut Khushairi, Malaysia mempunyai ramai pemain bola sepak wanita yang berbakat, malangnya mereka tidak dapat mempamerkan bakat mereka berikutan kurangnya platform untuk mereka bersaing.


“Kita ada Amateur Football League (AFL) yang mengendalikan saingan Liga M3, M4 dan M5, jadi untuk memperkasakan bola sepak wanita saya rasa kita perlu wujudkan satu entiti atau organisasi yang untuk menguruskan liga bola sepak wanita dan komersialkannya.

Cadangan saya, mungkin boleh wujudkan Amateur Woman Football League (AWFL) untuk menguruskan saingan liga sambil menjana keuntungan, pada masa sama dapat membantu bola sepak wanita negara,”

katanya kepada Harimau Malaya.
Sumber foto: KL Woman’s Football FB

Khushairi berkata ketika ini saingan bola sepak wanita di negara ketika ini hanya dilakukan secara karnival iaitu bermain secara kalah mati.

“Bukan saingan karnival ini tidak bagus tetapi pemain akan kurang mendapat minit permainan. Jika saingan liga diwujudkan ia akan membuatkan persaingan akan menjadi lebih kompetitif sekaligus dapat meningkatkan kualiti seseorang pemain itu.”

Dalam pada itu, Khushairi yang juga merupakan presiden kelab bola sepak Setiawangsa Rangers FC telah menganjurkan Kuala Lumpur Women’s Football Championship 2021 yang mana ia mendapat sambutan dari segi penyertaan pasukan dan juga peminat.

Sumber foto: KL Woman’s Football FB

Selain KL, Selangor menerusi Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) turut menganjurkan Women’s Super League yang mana kedua-dua saingan liga ini mendapat sambutan yang cukup positif dan telah membuka mata ramai terhadap bakat bola sepak wanita.

“FAM memuji usaha kami dalam menganjurkan liga wanita dan mereka juga dikatakan akan turut menganjurkan liga wanita pada tahun ini. Saya menyokong tindakan FAM ini tetapi saya berpendapat kita perlu selaraskan.”

Beliau turut berharap satu hari nanti akan ada seorang wanita korporat yang akan tampil untuk memimpin liga bola sepak wanita.

“Kita nak martabatkan wanita, jadi kalau lelaki yang meneraju liga wanita ini macam tak kena pula. Jadi saya harap sangat akan ada wanita yang tampil ke hadapan untuk memimpin.”

Kushairi yang ketika ini mengendali saingan liga wanita akan menyerah tugasnya itu kepada penolongnya iaitu Faradiba untuk memimpin liga wanita dan beliau hanya menjadi pengasas sahaja.

Akhir sekali beliau sangat berharap agar perancangan untuk mewujudkan liga bola sepak wanita seperti liga bola sepak lelaki dapat direalisasikan dalam masa terdekat ini.