Enggan jadikan faktor cuaca sebagai alasan tak layak ke Piala Dunia – Kapten Harimau Kudung
Kapten Harimau Kudung, Fadzan Mat Isa enggan menjadikan faktor cuaca sebagai alasan atas kegagalan mereka melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Dunia.
Skuad kendalian Sunny Shalesh tersingkir dalam peringkat kumpulan dalam Kelayakan Piala Dunia Zon Asia Timur yang berlangsung di Dhaka, Bangladesh baru-baru ini.
“Tidak dapat dinafikan kami agak sukar menyesuaikan diri dengan cuaca di Dhaka kerana cuaca di sana memang panas dan kering. Bagaimanapun kami tidak mahu gunakan alasan cuaca sebagai alasan untuk tidak beraksi dengan baik.
Walaupun kami sudah bermain bersama selama dua tahun dan mempunyai keserasian yang cukup baik, tetapi persiapan dari segi latihan taktikal ketika permainan yang singkat menjadi faktor utama kegagalan kami,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Fadzan berkata mereka tidak berasa kecewa langsung selepas gagal sebaliknya menganggap ia sebagai satu pengajaran dan pengalaman untuk mereka yang belum pernah beraksi di kejohanan tahap tinggi.
Dalam pada itu, bercerita lanjut mengenai perlawanan pertama menentang pasukan Jepun, pemain berusia 39 tahun itu mengakui tahap pasukannya dengan lawan jauh ketinggalan menyaksikan mereka tewas 7-0.
Skuad Harimau Kudung menamatkan kempen mereka di tangga ketiga dengan hanya menang satu perlawanan.
Dalam pada itu, Fadzan juga mempunyai perancangan untuk membangunkan bola sepak kudung dari peringkat akar umbi untuk mencari pelapis baru berikutan rata-rata pemain negara ketika ini sudah berusia termasuk dirinya yang kini sudah berusia 39 tahun.
“Untuk pembangunan kami sememangnya memerlukan bantuan dana untuk kami pastikan program pembangunan dapat dijayakan. Sasaran kami adalah untuk buat pasukan di setiap negeri, sekaligus dapat menarik lebih ramai pemain bola sepak kudung untuk tampil terutamanya pemain muda yang akan menjadi pelapis.”