Luqman Hakim patut diberi peluang terajui barisan serangan Harimau Malaya

5,305

Penyokong setia bola sepak Malaysia gembira apabila menyaksikan pasukan kebangsaan Malaysia berjaya memperoleh kemenangan ke atas pasukan Filipina dalam perlawanan pembukaan FAS Tri-Nations Series 2022.

Disebalik kemenangan skuad kendalian Kim Pan-gon itu, rata-rata penyokong kurang berpuas hati dengan persembahan skuad Harimau Malaya pada separuh masa kedua apabila pengendali baru negara membuat beberapa pertukaran seperti membawa masuk Liridon Krasniqi dan Mohamadou Sumareh yang sepatutnya bagi meningkatkan tempo permainan tetapi sebaliknya berlaku.


Berdasarkan aksi persembahan yang dipamerkan, penyokong dengan jelas dapat melihat pemain mana yang sepatutnya diturunkan dalam kesebelasan utama apabila menentang Singapura pada Sabtu ini.

GK: Farizal Marlias – Tidak dapat dinafikan lagi beliau merupakan salah seorang penjaga gol terbaik negara ketika ini. Turun sebagai kapten pasukan, Farizal boleh dikatakan tidak perlu bekerja keras langsung sepanjang 90 minit permainan kerana tiada ancaman berbahaya daripada pemain Filipina. Jadi untuk perlawanan seterusnya sudah pasti beliau akan diturunkan.

Sumber foto: FAM FB

DF: Dion Cools, Shahrul Saad, Khuzaimi Piee & Corbin Ong perlu dikekalkan untuk perlawanan menentang Singapura kerana keempat-empat mereka mempamerkan aksi yang cukup mantap dalam mempertahankan kubu negara dari dibolosi. Lebih menarik perhatian ramai adalah aksi yang dipamerkan oleh Khuzaimi yang kembali dipanggil menyarung jersi Harimau Malaya selepas hampir enam tahun. Ternyata percaturan untuk meletakkannya dalam kesebelasan utama memberikan impak.

Malah keempat-empat mereka turut mempamerkan keserasian yang bagus biarpun masih mempunyai tempoh yang singkat untuk menyesuaikan diri. Sekiranya ada di antara pemain ini cedera, Pan-gon berkemungkinan boleh memasukkan Khair Jones atau Dominic Tan.

MF: Untuk bahagian tengah pula, Safiq Rahim patut bertindak sebagai DM menggantikan Syamer Kutty kerana beliau bukan lagi seorang pemain yang laju di atas padang. Manakala posisi Syamer boleh digantikan dengan pemain lincah dari Terengganu FC iaitu Faisal Halim.

Manakala untuk perlawanan menentang Sabtu ini, Zhafri Yahya mungkin boleh dimasukkan menggantikan Kogileswaran yang mengalami sedikit kecederaan pada perlawanan pertama. Kualiti yang ada pada Zhafri ini tidak boleh dipertikaikan lagi dan Pan-gon boleh menggunakannya sebagai false 9 sekiranya perlu.

FW: Untuk bahagian serangan pula pemain tiga serangkai Ariff Aiman, Syafiq Ahmad dan Akhyar Rashid boleh dikekalkan dalam kesebelasan utama selepas mempamerkan aksi yang cukup menyakinkan. Bagaimanapun Pan-gon juga boleh membuat pertukaran dengan memasukkan Luqman Hakim menggantikan Syafiq memandangkan beliau tidak diturunkan pada perlawanan ketika menentang Filipina.

Sumber foto: FAM FB

Tidak dapat dinafikan corak permainan yang ditampilkan skuad negara berbeza dengan sebelum ini dengan pemain negara mempamerkan corak permainan berintensiti tinggi sehingga berjaya menjaringkan dua gol dalam tempoh yang singkat.

Bagaimanapun ‘perangai’ sambil lewa dan melambat-lambat permainan tetap ada apabila mereka sedang mendahului lawan dan perkara ini sangat tidak disukai oleh penyokong kerana sekiranya menentang pasukan yang bagus, sudah pasti mereka akan gunakan peluang itu untuk melancarkan serangan dan tidak mustahil mampu menjaringkan gol.

Masih terlalu awal untuk melihat kekuatan sebenar pasukan negara dibawah kendalian ketua jurulatih dari Korea Selatan ini. Tetapi apa yang pasti penyokong berharap agar Pan-gon tidak akan menurunkan dua pemain naturalisasi negara yang dilihat tidak memberi impak langsung sebaliknya permainan pasukan menjadi lebih teruk dan membosankan.

Mampukah Harimau Malaya benam Singapura nanti? Sama-sama kita tunggu.