Impian Saiful Ezzudin nak ke Eropah tak kesampaian

690

Impian pemain di Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Muhammad Saiful Ezzudin Mustafa untuk bermain di Eropah tidak kesampaian apabila beliau meninggal dunia akibat lemas.

Menurut jurulatih B-14 Ihsan Buhari, Allahyarham merupakan seorang pelatih berperwatakan senyap dan seorang pemain yang sangat kuat bekerja.


“Allahyarham seorang yang sangat disenangi oleh semua dan seorang pemain yang sentiasa bekerja keras kerana beliau sedar dirinya berasal dari keluarga susah, maka peluang yang dimiliki dia tidak akan sia-siakan.

Dia tahu apabila dia datang ke AMD, dia mahu kejar impiannya untuk bermain bola sepak di Eropah, malangnya tidak kesampaian,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tambahnya lagi, beliau pasti akan rasa kehilangan Allahyarham yang disifatkan sebagai seorang pemain yang cukup komitmen di dalam dan juga di luar padang.

Dalam pada itu, Ihsan berkata beliau dan barisan kejurulatihan serta pelatih lain sangat terkilan apabila Allahyarham meninggalkan mereka sehari sebelum hari lahirnya iaitu pada hari ini 25 Mac.

Terdahulu, dunia bola sepak bersedih atas pemergian Saiful yang meninggal dunia akibat lemas ketika mandi sungai bersama rakan-rakan di kampung halamannya.

Allahyarham dilaporkan hilang pada Rabu dan hanya dijumpai pada Khamis iaitu selepas 20 jam operasi mencari dijalankan.

Mangsa dijumpai dalam penyedut pasir di Sungai Limau oleh penjaga pam di kawasan itu kira-kira sembilam kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Kami di Harimau Malaya mengucapkan takziah buat keluarga dan sahabat Allahyarham di atas pemergiannya. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan mengampuni dosanya. Al-Fatihah.