Rodney So’oialo yakin Bunga Raya mampu buat kejutan di Kejohanan Ragbi Asia

312

Ketua jurulatih skuad ragbi Malaysia baru, Rodney So’oiala menyuarakan keyakinan pemainya mampu buat kejutan apabila menyertai Kejohanan Ragbi Asia (ARC) yang akan berlangsung pada 28 Mei hingga 4 Jun depan.

“Sejujurnya kami menyasarkan untuk saingan ARC ini untuk menang. Kami tetapkan sasaran tinggi sekaligus memberikan kami lebih motivasi untuk merealisasikannya.

Kesatuan Ragbi Malaysia memang ada sasaran mereka sendiri, tetapi dengan latar belakang saya sebelum ini sudah pasti saya akan sentiasa meletak sasaran tinggi,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Sejak dilantik sebagai ketua jurulatih untuk skuad negara yang diberi jolokan Bunga Raya, Rodney memberitahu beliau telah menjelajah ke seluruh negara untuk mencari pemain yang menepati kriterianya.


“Ya betul, saya menjelajah ke seluruh Malaysia untuk mencari pemain sendiri bagi memastikan pemain yang dipilih menepati dengan apa yang saya mahu.

Selepas siri latihan dan perlawanan persahabatan saya lihat anak buah saya memperlihatkan peningkatan. Saya telah menetapkan 5 fasa dan ketika ini kami sudah berada di fasa 3.”

Pada perlawanan persahabatan dengan Selangor baru-baru ini, skuad negara berjaya menang dengan keputusan 39-0.

Dalam saingan tiga negara itu menyaksikan skuad negara akan berlangsung di Seoul, Korea Selatan secara round-robin dengan Malaysia akan membuka tirai menentang juara bertahan Hong Kong sebelum bertemu Korea Selatan.

Juara ARC akan layak ke pusingan siri play-off Asia/Pasifik menetang pemenang Pusingan 3 Oceania iaitu Tonga.

Berdasarkan rangking dunia ketika ini, Malaysia berada di kedudukan ke-49 dunia manakala Hong Kong (21) dan Korea Selatan (30).

Rodney telah dilantik pada tahun lalu bagi menggantikan pengendali terdahulu iaitu Brad Mika.

Bagi yang tidak mengenali Rodney, beliau merupakan bekas pemain New Zealand All Blacks dari tahun 2002 hingga 2009.

Beliau telah membuat penampilan sebanyak 62 kali bersama All Blacks dan pernah merangkul pingat emas di Sukan Komanwel 2002.