Jangan main hoki sebab wang saja – Mohd Sayuti

1,245

Presiden Persatuan Hoki Perak (PHP), Mohd Sayuti Abdul Samat menasihati pemain hoki negeri itu supaya lebih mengutamakan komitmen mereka bermain untuk pasukan dan bukannya main semata-mata wang sahaja.

“Kalau bolehlah kita bermain untuk negeri Perak, kita janganlah bermain untuk wang sahaja sebab kami yang lama (bekas pemain hoki) tidak pernah fikir tentang wang apabila bermain untuk negeri mahu pun untuk negara.

Apa sahaja imbuhan kami terima tanpa meminta-minta, tapi zaman sekarang dah lain,”

katanya kepada Harimau Malaysia.

Mohd Sayuti berkata demikian selepas ditanya mengenai kontroversi membabitkan imbuhan kepada pemain hoki Perak selepas mereka berjaya merangkul Piala Tun Abdul Razak 2021.


Pada masa sama beliau turut mengakui menerima kritikan hebat daripada peminat, namun beliau menerimanya dengan hati terbuka.

Susulan itu, untuk tahun ini Mohd Sayuti berkata pihaknya tidak akan menjanjikan sebarang habuan lagi, sebaliknya mahu pemain fokus pada perlawanan terlebih dahulu.

“Kali ini kami mahu mereka fokus pada perlawanan dulu. Selepas menang nanti baru kita tengok berapa dapat dari MHC (Persatuan Hoki Malaysia) dan kerajaan negeri sebelum kami umum jumlah habuan.”

Dalam pada itu, Mohd Sayuti berharap pasukan Perak mampu mencipta sejarah baru dengan sekali lagi menjulang trofi berprestij itu sekaligus menjadi pasukan pertama berjaya meraih hatrik piala.

Lebih membuatkan beliau bersemangat pada tahun ini apabila badan induk hoki negeri itu mendapat sokongan padu daripada Sultan Perak sendiri iaitu Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang juga merupakan peminat tegar hoki.

Sementara itu, beliau tidak menafikan bahawa negeri Perak merupakan antara negeri yang paling banyak melahirkan pemain kebangsaan.

“Dengan program NHDP (Program Pembangunan Hoki Negara) baru dilancarkan, saya percaya negeri Perak akan terus melahirkan ramai pemain yang akan mewakili negeri dan seterusnya negara.”