Tan Cheong Min harap kemenangannya di ASN dapat buka mata orang ramai sertai sukan Wushu
Atlet Wushu negara Tan Cheong Min mengakui tidak menyangka bahawa beliau akan dinobat sebagai Olahragawati Kebangsaan di Anugerah Sukan Negara kerana merasakan ramai lagi atlet yang lebih layak.
Cheong Min bagaimanapun bersyukur dengan kemenangan itu dan berharap ia dapat membuka mata orang ramai mengenai sukan Wushu.
“Tidak dapat dinafikan sukan Wushu ini sememangnya sinomin dengan atlet berbangsa Cina, tetapi sekarang ini dengan di sekolah rendah juga mempunyai sukan Wushu, sukan ini sudah tidak lagi didominasi oleh satu bangsa, sebaliknya kini ia turut disertai atlet berbangsa Melayu dan India.
Dengan kemenangan saya di ASN ini saya berharap ia dapat membuka lebih banyak mata orang ramai terhadap sukan Wushu,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Mula menceburi dunia Wushu sejak berusia sembilan tahun, Cheong Min mendedahkan cabaran terbesar yang dihadapinya ketika ini adalah sering dipandang enteng berikutan size tubuhnya yang kecil berbanding atlet lain yang bersaing.
Dalam pada itu, Cheong Min akui sedikit kecewa apabila acara Nandao dan Nanquan tidak dipertandingkan di Sukan SEA yang akan berlangsung di Hanoi, Vietnam pada Mei depan.
Tidak dapat beraksi di Sukan SEA memberinya lebih banyak masa untuk berlatih bagi membuat persiapan ke Sukan Asia pada September di China.
“Tahun ini saya ada pertandingan yang sangat besar buat saya iaitu Sukan Asia, jadi saya akan pastikan saya buat persiapan rapi bagi menghadapi temasya ini.”
Untuk rekod, beliau pernah memenangi 7 pingat emas, 1 perak dan 1 gangsa di Sukan Malaysia (SUKMA); 1 emas, 1 perak dan 1 gangsa di Kejohanan Belia; 1 perak di Sukan Universiti Dunia; 1 emas, 2 perak dan 1 gangsa di Kejohanan Dunia.
Sementara itu, ditanya mengenai perancangan masa depannya berikutan beliau masih muda iaitu berusia 24 tahun, Cheong Min mengakui dalam dilema samada akan melanjutkan pengajiannya atau mahu meneruskan karier sebagai atlet Wushu.
“Saya mungkin akan buat keputusan mengenai masa depan saya selepas habis Sukan Asia nanti untuk tentukan masa depan saya kerana ketika ini fokus saya pada Sukan Asia saja.”