Saya sanggup tolak gaji RM10,000 di Oman demi hoki Perak – Arif Sabron

3,067

Tonggak utama pasukan hoki Perak, Arif Sabron mendedahkan beliau sanggup menolak gaji lumayan RM10,000 untuk bermain di sebuah kelab di Oman kerana mahu bermain untuk negeri kelahirannya sendiri.

Kenyataan Arif itu sekaligus membidas nasihat Presiden Persatuan Hoki Perak (PHP) iaitu Mohd Sayuti Abdul Samat yang meminta pemain hoki negeri itu supaya lebih utamakan komitmen mereka untuk bermain dan bukannya main kerana wang sahaja.


“Saya dan pemain hoki lain main sukan ini bukan kerana wang, tetapi kerana cinta kami pada sukan hoki. Kalau saya sendiri sebagai contoh, pada tahun lepas ketika kejohanan Piala Tun Abdul Razak, saya dapat tawaran dari sebuah kelab hoki di Oman dengan gaji lumayan iaitu RM10,000 sebulan.

Kalau betul saya main sebab duit kenapa saya tak pergi main di sana? Bagi saya, saya fikir pasal nak naikkan nama negeri saya,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tambahnya beliau dan rakan sepasukannya bermain bermati-matian untuk negeri bagi memastikan mereka memperoleh kemenangan, dan mereka akan benar-benar kecewa sekiranya kalah.

Malah ada segelintir pemain yang sanggup berhenti kerja demi memberi tumpuan kepada pasukan hoki bagi menghadapi kejohanan berprestij itu.

Pada Disember lalu, pemain Perak tampil meluahkan rasa tidak puas hati mereka apabila wang imbuhan yang dijanjikan tidak ditepati oleh PHP.

PHP telah menjanjikan imbuhan sebanyak RM5,000 seorang mereka berjaya membawa pulang trofi Piala Tun Abdul Razak, tetapi apabila mereka berjaya menjadi juara kesemua mereka hanya menerima imbuhan sebanyak RM2,350 sahaja.

Bagaimanapun selepas isu ini timbul, pihak PHP telah mengadakan mesyuarat dan telah bersetuju untuk memberi imbuhan sebanyak RM4,000.

“Ketika zaman pengurusan sebelum ini isu seperti ini tidak pernah berlaku langsung. Tetapi apabila pengurusan baru masuk ini pelbagai masalah yang timbul termasuklah soal imbuhan. Jika persatuan betul-betul tak ada wang, kenapa mereka tak panggil kami untuk berbincang dan bukannya keluarkan kenyataan media.”

Arif turut berkata Mohd Sayuti sepatutnya lebih memahami pemain berikutan beliau sendiri merupakan bekas pemain, tapi sebaliknya yang berlaku.

Pada masa sama beliau turut berkata kenyataan presiden yang mahu pemain mempunyai mentaliti seperti pemain dahulu juga tidak relevan kerana mereka perlu maju kehadapan dan bukannya berada di takuk lama.

Dalam pada itu, ditanya mengenai perkembangan terbarunya Arif berkata pada musim ini beliau tidak menyertai mana-mana pasukan untuk saingan Liga Hoki Malaysia kerana beliau mempunyai komitmen kerja lain.

Beliau juga masih belum mendapat sebarang khabar berita mengenai pemain yang akan dipilih untuk menyarung jersi Perak untuk kejohanan Piala Tun Abdul Razak 2022.

Jika beliau dipilih sekali lagi, Arif tidak akan teragak-agak untuk kembali turun beraksi.