Perak FC berkemungkinan bakal bermain dengan 18 pemain sepanjang musim
Pasukan Perak FC berkemungkinan akan bermain dengan 18 pemain sahaja sekiranya The Bos Gaurus terus dikenakan larangan pendaftaran pemain baru sekiranya kemelut tunggakan gaji tidak diselesaikan.
Ketika ini skuad kendalian Yusri Che Lah mempunyai tempoh sehingga hujung bulan April sebelum jendela perpindahan kedua pada bulan Mei ini.
“Ketika ini saya mempunyai hanya 15 pemain dan 3 penjaga gol untuk mengharungi saingan liga sehingga bulan Mei ini.
Jika segala kemelut membabitkan pasukan dapat diselesaikan, InsyaAllah kami akan dapat daftar pemain-pemain baru yang tidak dapat didaftarkan sebelum ini. Jika tidak kami akan terpaksa beraksi dengan 18 pemain sepanjang musim,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Menurut Yusri, walaupun dengan apa yang berlaku ketika ini beliau bersyukur apabila barisan kejurulatihan dan pemain masih lagi turun berlatih walaupun tidak mendapat bayaran.
Bercerita lanjut mengenai tunggakan gaji yang dihadapi olehnya, Yusri mendedahkan bahawa barisan kejurulatihan mengalami tunggakan hampir tiga bulan tetapi pihak pengurusan telah pun membayar separuh dari tunggakan dua bulan.
Dalam pada itu, ditanya samada beliau sudah berkira-kira mencari pasukan baru berikutan permasalahan yang berlaku, beliau akui tidak pernah fikir untuk meninggalkan pasukan buat masa ini.
“Saya ada kontrak dengan Perak selama dua tahun jadi saya menghormati kontrak itu. Saya tidak memikirkan langsung untuk berhijrah ke pasukan lain. Jadi saya akan kekal bersama pasukan ini dan berharap ada sinar harapan buat Perak.”
Skuad yang diberi jolokan The Bos Gaurus sehingga kini dibelenggu dengan masalah tunggakan gaji dan kini berada dalam situasi parah.
Bagaimanapun ada sinar harapan apabila ada pihak yang dikatakan berminat untuk membeli pasukan itu yang mana ia kini dalam proses perbincangan.
Sementara itu, Yusri sangat berharap agar masalah ini dapat diselesaikan dengan segera supaya tiada hukuman berat dikenakan.
Perak dijangka akan dikenakan pemotongan mata jika tidak dapat diselesaikan dan apabila ini berlaku tidak mustahil pasukan yang mempunyai reputasi sebagai gergasi utara sebelum ini jatuh ke saingan Liga M3.