Tugas saya sudah selesai di BAM – Flandy Limpele

426

Jurulatih beregu lelaki negara, Flandy Limpele memberitahu keputusannya untuk meletak jawatan sebagai jurulatih di Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kerana kontraknya sudah tamat.

Malah Flandy juga berkata tugasnya sudah selesai dan beliau mahu mengubah angin walaupun BAM menawarkan kontrak baru kepadanya.


“Kontrak saya juga dah habis dan saya rasa misi saya sudah terlaksana walaupun kita dapat pingat gangsa di Sukan Olimpik dan memperkuat beregu lelaki sudah terlaksana dan kini prestasi mereka dalam keadaan terbaik.

Sekarang ini adalah masa untuk saya cari cabaran baru dalam karier,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tambahnya lagi, beliau percaya pemergiannya tidak akan menjejaskan prestasi beregu negara iaitu Aaron Chia–Soh Wooi Yik dan Nur Izzuddin–Goh Sze Fei kerana mereka mampu pergi dengan lebih jauh lagi.

Dalam pada itu, Flandy berkata beliau sudah lama berkelana di negara orang dan kini adalah masanya untuk pulang ke negaranya, Indonesia.

Jelasnya lagi, tidak timbul isu Persatuan Bulutangkis Seluruh Indonesia (PBSI) menawarkan kontrak lumayan berbanding BAM, sebaliknya kepulangannya ke sana adalah untuk menabur bakti kepada negaranya.

Flandy juga menafikan bahawa pemergiannya ke Indonesia kerana melihat potensi yang ada pada beregu Fajar Alfian dan Rian Ardianto.

“Beregu negara juga mempunyai potensi yang bagus yang mana mereka kini cuma perlu kekalkan prestasi untuk mendapatkan keputusan yang bagus sahaja.”

Pemergian Flandy memberi satu lagi tamparan hebat buat BAM selepas jurulatih perseorangan negara Indra Wijaya mengambil keputusan untuk meletak jawatan kerana mahu melatih Lee Zii Jia yang kini bergerak secara profesional.

Walaupun BAM menafikan persiapan kem negara untuk kejohanan Piala Thomas tidak terjejas, namun peminat mula berasa bimbang dengan situasi tidak menentu dalam badan induk badminton negara itu.

Rata-rata berharap agar segala isu yang berlaku dapat diselesaikan dengan segera supaya pemain negara tidak terjejas sekaligus dapat memberikan aksi persembahan yang terbaik nanti.

Please rotate your device
Continue in browser
To install tap Add to Home Screen
Add to Home Screen