Tiada ‘passion’ dalam bola sepak jadi punca Hajjar keluar dari Tifo Arena

3,215

Salah seorang pengacara yang popular satu ketika dahulu, Hajjar mengakui tidak berminat dan tiada passion dalam dunia bola sepak membuatkannya ambil keputusan untuk keluar dari Tifo Arena.

Menurut Hajjar, walaupun akui banyak belajar daripada Amar dan Remy tentang bola sepak Malaysia, tetapi tanpa minat dia merasakan tiada guna untuknya teruskan kerja itu.


“Saya bekerja dengan mereka dalam tempoh setahun lebih sahaja. Lepas saya dah berhenti baru saya dapat tahu yang Tifo Arena dah berhenti.

Banyak yang saya belajar apabila bekerja di sana, tetapi kerana saya tidak berminat dan tiada ‘passion’ dengan bola sepak jadi saya ambil keputusan untuk berhenti dan buat benda lain pula,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Hajjar berkata dia kini banyak melakukan kerja secara freelance seperti mengacara dan berlakon selain meluangkan masa bersama keluarga.

Dalam pada itu, Hajjar juga mengakui terkejut apabila mendapat tahu Tifo Arena berhenti kerana ketika itu mereka semakin popular dan dikenali ramai termasuk di Indonesia.

Ditanya samada benar atau tidak Tifo Arena ‘ditutup’ kerana berlakunya perselisihan faham antara Amar dan Remy, Hajjar berkata dia sendiri tidak berapa tahu.

“Saya tak rasa mereka ada salah faham kerana hubungan mereka baik-baik saja. Mungkin mereka ambil keputusan untuk tutup Tifo Arena sebab ada perkara lain yang mereka ingin buat.”

Sementara itu, bercerita lanjut mengenai perkembangan terbarunya, Hajjar kini semakin aktif dalam dunia lakonan apabila sudah beberapa kali muncul di kaca televisyen.

Terbaru dia baru saja muncul dengan filem aksi sukan berjudul “Gila Gusti” yang kini sedang ditayangkan di pawagam yang turut dibintangi oleh Elizabeth Tan, Pekin Ibrahim dan ramai lagi.