Syarikat sukan berminat untuk ambil alih Perak FC

3,368

Kemelut yang berlaku dalam kelab Perak FC semakin parah apabila pada hari ini (1 April) mereka secara sah telah dikenakan pemotongan tiga mata kerana gagal menyelesaikan tunggakan gaji pasukan.

Mereka kini mempunyai tempoh 14 hari untuk menyelesaikan segala masalah mereka. Jika tidak dapat selesaikan juga, pemotongan enam mata akan dikenakan dengan Perak sekali lagi diberi peluang untuk menyelesaikan perkara itu dalam tempoh tujuh hari.


Jika mereka tidak dapat selesaikan juga, baru pihak Malaysian Football League (MFL) akan mengadakan satu mesyuarat bersama Lembaga Pengarah untuk membuat keputusan untuk menyingkirkan Perak atau tidak.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Impact Media Communication (IMC), Muhammad Yunus Zakariah berkata buat masa ini terdapa dua syarikat yang berminat untuk mengambil alih syarikat yang mana salah satunya adalah syarikat yang mempunyai latar belakang sukan.

“Ketika ini terdapat dua pihak yang berminat untuk mengambil alih Perak yang mana salah satunya sudah pun dalam perbincangan dan pihak kami sedang menunggu ‘proof of funds’ dari pihak tersebut sebelum kami teruskan proses penukaran hak milik.

Sebuah lagi syarikat yang menunjukkan minat adalah sebuah syarikat sukan yang baru sahaja menghantar Letter Of Interest yang mana pihak IMC sudah pun menghantar profil, kewangan dan segala dokumen berkaitan Perak FC.

Kita kini sedang menunggu samada mereka berminat dan menghantar surat tawaran untuk mengambil alih kelab,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Dalam pada itu, Yunus turut berkongsi berita gembira iaitu mereka sudah menemui beberapa syarikat yang ingin menjadi penaja Perak.

Mereka kini dalam rundingan akhir untuk menandatangani perjanjian, dan sekiranya selesai wang tajaan itu mampu menyelesaikan hampir 80 peratus hutang liabiliti.

Yunus berkata, pihaknya enggan melepaskan Perak sekiranya tidak dapat sahkan syarikat yang ingin mengambil alih Perak mempunyai wang kerana tidak mahu pasukan yang mempunyai sejarah dalam dunia bola sepak terkubur.

“Boleh saja kalau kami nak lepas tangan kepada syarikat lain, tetapi apabila memikirkan pemain dan pasukan, jadi kami nekad tidak mahu lepaskan Perak sekiranya kami tidak yakin pihak itu mampu.”