Peminat Perak FC bakal dapat kuasa pilih jurulatih & pemain
Walaupun Perak FC berdepan kemungkinan disingkirkan dari saingan Liga Malaysia, namun mereka tidak mahu cepat mengalah sebaliknya akan cuba menyelamatkan kelab itu.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perak iaitu Muhammad Yunus Zakariah, pihak Impact Media Communication (IMC) kini sedang dalam perancangan untuk melancarkan program keahlian kepada peminat Perak yang mana mereka akan menjadi salah satu pemegang saham kelab.
“Kami kini sedang dalam perancangan untuk lancarkan program keahlian kepada peminat rasmi Perak. Tidak seperti keahlian yang ditawarkan oleh kelab lain, setiap peminat yang menyertai program keahlian ini akan menjadi salah seorang pemegang saham dalam kelab.
Para peminat kemudian akan membuat pemilihan untuk memilih seorang wakil yang akan berada dalam Lembaga Pengarah kelab yang mana ia akan memberi akses mereka untuk berada dalam setiap mesyuarat kelab.
Malah, mereka juga mempunyai hak untuk mengundi dalam pemilihan jurulatih dan juga pemain,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Yunus berkata program ini dijangka akan dilancarkan pada minggu hadapan yang mana mereka telah memperuntukkan sebanyak 15 peratus saham kelab kepada peminat.
Beliau bagaimanapun tidak dapat mendedahkan butiran lanjut mengenai bayaran yang akan dikenakan untuk keahlian itu, bagaimanapun ia akan mempunyai kelebihan sama seperti kad keahlian kelab lain seperti diskaun pembelian barangan kelab itu.
Dalam pada itu, kegembiraan Perak yang baru sahaja menang dalam perlawanan pusingan pertama Piala FA semalam tidak bertahan lama apabila pada hari ini 1 April, Perak telah dikenakan hukuman pemotongan tiga mata oleh Malaysian Football League (MFL).
Pemotongan mata itu dibuat selepas kelab itu gagal melangsaikan tunggakan gaji pasukan.
Mereka diberikan tempoh selama 14 hari untuk menyelesaikan segala tunggakan atau berdepan lagi pemotongan enam mata dan seterusnya disingkirkan.