KL Rovers FC jadi kilang ‘ubi muda’ buat KL City FC dan Malaysia

639

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, semakin banyak akademi bola sepak ditubuhkan terutamanya di Lembah Klang dan salah satunya adalah KL Rovers FC.

Walaupun baru berusia lima tahun, namun akademi KL Rovers telah pun menghasilkan ramai pemain-pemain muda berkualiti.


“Ada pemain dari akademi kami yang dah ke Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dan sekolah sukan negeri.

Walaupun mereka ini adalah produk akademi KL Rovers, namun kami akan sentiasa memaklumkan kepada mereka sekiranya ada sesi ‘trial’ untuk AMD dan kami tidak keberatan untuk melepaskan, malah kami menyuruh mereka sertai AMD sekiranya dipilih,”

kata Pengasas dan Pengurus Akademi KL Rovers, Aznor Zulkarnaian.

KL Rovers adalah sebuah akademi yang bernaung di bawah Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) yang mana ia akan membuka peluang kepada pemain-pemain akademi ini untuk melebarkan karier bola sepak mereka ke KL City FC, kelab-kelab lain mahupun Malaysia.

Skuad B-14 KL Rovers telah berjaya menjuarai saingan Liga Suparimau untuk zon Kuala Lumpur dengan rekod tanpa kalah.

Menurut Aznor, kejayaan pemain-pemainnya adalah kerana keserasian antara pemain dan jurulatih yang mula sejak pemain berusia lapan tahun.

Dalam pada itu, Aznor berkata di akademi KL Rovers mereka menerapkan konsep football is fun.

“Di sini kami terbuka kepada mana-mana pemain yang ingin belajar bola sepak. Bola sepak akar umbi ini kami terapkan konsep football is fun jadi pendekatan latihan kami berbeza kerana kami tidak akan terus buat latihan berlari pusing padang, sebaliknya kami mulakan dengan latihan yang seronok untuk mereka.

Lama-kelamaan mereka akan semakin suka dan bersemangat untuk turun berlatih.”

Walaupun menguruskan akademi, namun ia tetap mempunyai cabarannya tersendiri termasuk perlu memastikan tiada pertikaian yang berlaku apabila pihak jurulatih memilih pemain yang akan dibawa ke sesuatu kejohanan.

Aznor berkata pihaknya mempunyai satu group chat bersama ibu bapa yang mana pihak mereka akan sentiasa memaklumkan mengenai berapa banyak pemain yang akan dibawa dan siapa yang akan dibawa.

Jelasnya lagi, tiada seorang pun pemain akan tersisih sebaliknya kesemua mereka pasti akan mendapat minit permainan sekaligus memberi peluang sama rata kepada setiap pemain untuk menunjukkan bakat mereka.

Barisan kejurulatihan juga akan menilai pemain berdasarkan komitmen dan disiplin yang dipamerkan oleh mereka dalam setiap latihan.

“Apabila mereka turun berlatih kami akan beritahu mereka jangan main-main, sama seperti di sekolah. Kami akan utamakan disiplin terlebih dahulu dan sekiranya pemain itu berjaya, baru kita akan ajar skil dan lain-lain.”

Dengan semakin ramai anak muda bermain bola sepak, beliau berharap satu hari nanti dapat melihat satu budaya bola sepak yang baik di Kuala Lumpur.