Rafieq Amzar mahu teruskan kerjaya bola sepak di Bosnia

2,176

Pemain muda negara Muhammad Rafieq Al-Amzar Zulkifeli nekad mahu terus kekal bersama kelabnya di Bosnia and Herzegovina iaitu NK Zvijezda Gradacac.

Ini kerana menurut pemain yang mesra disapa oleh Amzar berkata perbezaan kualiti liga di Malaysia dan Bosnia sangat jauh berbeza.


“Perbezaan kualiti liga di Malaysia jauh beza dari sini, jadi saya akan teruskan kerjaya bola sepak saya di Bosnia kerana kontrak saya berkemungkinan besar akan disambung selama setahun lagi.

Jadi lebih baik saya kekal di sini sebelum fikir untuk pulang ke tanah air,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Menjadikan penyerang sensasi negara Luqman Hakim sebagai inspirasi, Amzar berkata beliau nekad mahu terus kekal di Eropah.

Terdahulu Amzar menjadi perhatian peminat bola sepak negara apabila berjaya menjaringkan dua gol untuk membantu skuad B-19 menang besar 5-0.

Penggembaraannya di Bosnia ditanggung sepenuhnya oleh ibu bapanya, oleh itu beliau mahu memastikan pengorbanan ibu bapa dibalas dengan kejayaan kerana beliau sememangnya mahu jadikan bola sepak sebagai kerjaya.

Bercerita lanjut mengenai perjalanan karier bola sepaknya, Amzar bermula di Sekolah Sukan Pahang sebelum beliau menyertai latihan bersama skuad Piala Presiden KL City FC selama empat bulan sebelum terbang ke Bosnia untuk menyertai NK Zvijezda Gradacac.

Walaupun tidak mahu bermain di Liga Malaysia, namun semangat patriotik dalam diri tetap utuh yang mana beliau pasti akan pulang ke tanah air sekiranya mendapat panggilan untuk menyarung jersi Harimau Malaya.

Dalam pada itu, Amzar juga sempat memberi sedikit nasihat dan kata-kata semangat kepada pemain muda yang ingin mengikut jejak langkah seperti dirinya dan Luqman.

“Pertama sekali kita perlu bekerja keras kerana tanpa usaha kita tidak akan mampu capai kejayaan. Pada masa sama keluarga turut memainkan peranan penting kerana seperti saya, tanpa bantuan dan sokongan keluarga saya pasti tidak akan sampai di sini.”