Sekarang baru nak atur perlawanan untuk skuad B-23? Pemain mana yang akan main nanti?

14,205

‘Dah nak berak baru nak gali lubang’. Itulah perumpamaan yang tepat boleh diperkatakan mengenai pengurusan pasukan skuad B-23 negara ketika ini.

Entah apa sebabnya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) baru terfikir mahu adakan beberapa perlawanan persahabatan buat skuad kendalian Brad Maloney sedangkan ketika jendela antarabangsa yang pertama minggu lalu hanya skuad senior sahaja yang mempunyai perlawanan persahabatan di Singapura.


Betul apa yang diperkatakan bekas Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Lim Teong Kim (LTK) dalam satu temubual eksklusif yang mana beliau mempersoalkan tindakan FAM yang tidak mengatur sebarang perlawanan buat skuad B-23.

Sumber foto: FAM FB

Menurut Teong Kim, FAM sepatutnya mengambil peluang itu untuk mengatur perlawanan kerana mereka tidak boleh menggunakan alasan ada pemain dari skuad B-23 yang bermain di skuad senior kerana hanya dua orang pemain iaitu Arif Aiman dan Luqman Hakim sahaja.

Tindakan itu telah membuatkan skuad B-23 menjadi mangsa berikutan mereka mempunyai kejohanan besar pada tahun ini iaitu Sukan SEA Hanoi yang akan berlangsung pada Mei depan selain Piala Asia B-23 pada Jun depan.

Kenapa perlu cari masalah sedangkan ada cara mudah? Bukan mudah untuk FAM mendapatkan persetujuan beberapa negara untuk menyertai aksi persahabatan berikutan perlawanan itu di luar kalander Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Katakanlah FAM berjaya mendapat pasukan untuk menentang, persoalan utama yang akan menjadi tanda tanya penyokong adalah pemain mana yang akan bermain?

Jika ikut logik sudah pasti banyak pasukan tidak akan melepaskan pemain-pemain mereka untuk menyertai kem kebangsaan berikutan mereka mempunyai banyak perlawanan di liga.

Tambahan pula pasukan seperti Terengganu FC dan Sri Pahang FC masih lagi belum bermain berikutan ditunda akibat jangkitan COVID-19, jadi sudah pasti mereka perlukan setiap pemain mereka untuk bersama skuad berikutan mempunyai banyak perlawanan yang perlu dihadapi.

Sumber foto: FAM FB

Jika semua pemain utama B-23 tidak mendapat pelepasan dari pasukan masing-masing, apa yang akan dilakukan FAM? Salahkan kelab? Atau guna sahaja pemain yang mana ada?

Mungkin B-23 tidak menjadi keutamaan, tetapi selepas kegagalan skuad senior, rata-rata penyokong Harimau Malaya kini beralih kepada skuad B-23 yang bakal menempuhi beberapa kejohanan besar yang mana mereka berpotensi untuk mencipta kejayaan.

Bagaimanapun dengan situasi ketika ini yang mana skuad B-23 seperti tidak diberi perhatian, mampukah mereka mencipta kejutan atau mereka akan mengikut jejak langkah skuad senior kandas di tengah jalan? Sama-sama kita tunggu.