MFL patut ikut jejak langkah baru Liga Perdana Inggeris dan kekalkan penggunaan 5 pemain gantian

561

Baru-baru ini Liga Perdana Inggeris telah bersetuju untuk memperkenalkan peraturan baru iaitu penggunaan lima pemain gantian pada setiap perlawanan bagi musim 2022-23.

Ia bukanlah peraturan baru kerana ketika dunia dilanda pandemik, kebanyakan liga utama di seluruh dunia dibenarkan menambah jumlah pemain gantian daripada tiga kepada lima pemain bagi setiap perlawanan pada kempen 2019-20.


Bagaimanapun pada musim 2020-21 Liga Perdana Inggeris menjadi satu-satunya liga yang kembali menggunakan tiga pemain gantian walaupun badan penggubal undang-undang bola sepak, IFAB mencadangkan peraturan itu dikekalkan, sebelum bersetuju untuk menggunakan lima pemain gantian.

Di Liga Malaysia ketika ini pihak Malaysian Football League (MFL) masih lagi mengekalkan lima pemain gantian sejak musim lalu lagi dan tiada khabar berita mengenai kembali kepada peraturan lama iaitu tiga pemain gantian sahaja.

Mungkin MFL boleh gubal peraturan sedia ada dan kekalkan peraturan baru yang diguna pakai ketika ini kerana ia akan membawa lebih banyak kebaikan dari keburukan.

Antara kelebihan yang jika peraturan lima pemain gantian dikekalkan adalah ia akan memberi peluang kepada pemain muda untuk turun beraksi.

Ya, mungkin mereka hanya akan turun dalam tempoh yang sekejap sahaja tetapi minit permainan itu sangat penting dan berharga buat pemain-pemain muda ini.

Malah jurulatih juga tidak perlu lagi pening memikirkan pemain utama keletihan kerana banyak perlawanan kerana beliau boleh menukar banyak pemain bagi memastikan skuad yang diturunkan akan sentiasa berada dalam prestasi baik dan cergas.

Penggunaan lima pemain gantian ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pemain muda, tetapi juga kepada pemain senior yang akan mendapat peluang untuk turun beraksi dan melanjutkan karier masing-masing.

Menariknya peraturan penggunaan lima pemain gantian ini akan membuatkan jurulatih tiada alasan lagi untuk mengatakan pemain mereka burn-out berikutan terlalu kerap turun beraksi.

Jika situasi itu masih berlaku, ia bermakna salah jurulatih itu sendiri yang tidak bijak menguruskan pemainnya sendiri.

Banyak kelebihan yang kita dapat daripada peratuan baru ini, jadi diharap MFL akan tukar peraturan baru itu di Liga Malaysia dalam masa terdekat ini.