Sukan boling padang sering jadi lubuk pingat emas negara tapi dipandang sepi

666

Jurulatih pasukan negara, Nor Hashimah Ismail berharap sokongan daripada media tempatan untuk membantu mereka menaikkan lagi populariti sukan boling padang yang sehingga kini masih lagi dipandang sepi.

Menurut Nor Hashimah, kejohanan boling padang boleh dikatakan sering dianjurkan tetapi tiada liputan media langsung. Liputan hanya akan ada sekiranya mereka berjaya sumbang pingat dalam temasya sukan.


“Liputan media terhadap sukan boling padang ini tidak dinafikan sangat kurang kecuali temasya sukan barulah ada liputan. Kalau kita buat pertandingan terbuka, biarlah gah macam mana sekali pun tetap tidak dapat liputan.

Saya berharap sangat agar media lain nampak sukan boling padang ini sebagai satu sukan yang sama seperti sukan lain dan bukannya apabila sukan besar lain sudah tak ada baru cari kami. Itu yang kami rasa,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tambahnya lagi, jika seseorang itu sememangnya peminat sukan sudah pasti mereka akan tetap memberi sokongan dan ambil tahu mengenai perkembangan terkini.

Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa sukan boling padang merupakan lubuk pingat emas buat kontinjen Malaysia di mana-mana temasya sukan seperti Sukan Komanwel.

Untuk rekod, pasukan boling padang Malaysia berada di kedudukan Top 5 dunia dan nombor satu di Asia.

Baru-baru ini Nor Hashimah telah dinobat sebagai Jurulatih Wanita Kebangsaan terbaik pada Anugerah Sukan Negara (ASN).

Sementara itu, atlet boling padang veteran negara, Siti Zalina Ahmad mengakui beliau pada mulanya kurang berminat dengan sukan boling padang, bagaimanapun setelah menceburi sukan itu selama beberapa bulan beliau mula ‘jatuh cinta’.

Beliau semakin serius dalam sukan boling padang selepas terpilih untuk sertai Sukan Malaysia (SUKMA), Sukan Komanwel dan Sukan SEA.

Dalam pada itu, Siti kini sedang giat membuat persiapan untuk temasya Sukan Komanwel pada Julai depan di Birmingham, England selepas dua tahun tidak mempunyai pertandingan kompetitif.

“Tidak dinafikan pemain profesional seperti saya yang mempunyai pengalaman juga akan berasa gementar apabila sertai kejohanan antarabangsa kerana sudah dua tahun tidak sertai sebarang pertandingan kompetitif.

Jadi saya harap dapat cepat adaptasi untuk dapatkan semula rentak permainan saya.”

Siti merupakan pemenang tiga pingat emas di Sukan Komanwel 2002, 2006 dan 2018, tiga emas di Asia Pacific Bowls Championships dan gangsa World Outdoor Championships.