Walaupun berat, tapi kami terpaksa lepaskan Azmeer Yusof & Fitri Omar – CEO BRM FC

3,246

Baru-baru ini penyokong bola sepak tanah air kecoh di media sosial apabila dua pemain kelab BRM FC yang bersaing di Liga M3 iaitu Azmeer Yusof dan Fitri Omar telah meninggalkan pasukan itu selepas lima perlawanan.

Ada juga yang mendakwa kedua-dua bekas pemain Liga Super itu ambil keputusan untuk meninggalkan pasukan itu selepas kekalahan besar dibelasah 10-0 oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam pusingan pertama Piala FA.


“Apa yang saya boleh nyatakan di sini adalah kekalahan kepada JDT bukanlah faktor utama kedua-dua pemain itu ambil keputusan tinggalkan pasukan, sebaliknya mereka sendiri datang minta untuk dilepaskan kerana mempunyai komitmen peribadi.

Walaupun agak berat untuk kami lepaskan, tapi kami menghormati keputusan mereka,”

kata Ketua Pegawai Eksekutif BRM FC iaitu Muhamad Ghafari Muhamad Nasir.

Menurut Ghafari, biarpun mereka kehilangan dua tonggak utama pasukan, misi dan matlamat pasukan mereka akan tetap sama.

Ketika ini BRM FC berada di kedudukan ketiga Liga M3 kumpulan B dengan mengutip lapan mata selepas lima perlawanan.

Dalam pada itu, Ghafari berkata pihaknya kini sudah pun mempunyai senarai pemain-pemain baru yang akan mengisi kekosongan yang ditinggalkan Azmeer dan Fitri.

“Kelompongan yang ada sekarang ini kita akan tutup dengan kehadiran pemain baru. Senarai pemain sudah ada dan kita rancang mahu menandatangani lima pemain baru pada jendela perpindahan kedua pada bulan Mei ini.

Siapa pemain itu saya belum dapat dedahkan lagi kerana saya sendiri belum melihat senarai pemain itu kerana senarai itu ada di tangan jurulatih dan pengurus.”

Dalam pada itu, walaupun saingan Liga M3 dihentikan seketika sepanjang bulan Ramadan ini, namun Ghafari berkata barisan kejurulatihannya tetap mengadakan latihan bersama pemain-pemain.

Malah mereka turut mengatur perlawanan persahabatan pada setiap hujung minggu bagi memastikan setiap pemain dapat mengekalkan prestasi supaya apabila saingan liga bersambung mereka akan teruskan momentum pada awal musim.