Gandingan Pandelela, Nur Dhabitah buka peluang cerah raih pingat emas di Sukan SEA

265

Setelah sekian lama, penerjun negara Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah bakal kembali bergandingan untuk temasya Sukan SEA Hanoi pada bulan Mei depan.

Rata-rata peminat sukan terjun sebelum ini tertanya-tanya siapakah pasangan baru Pandelela untuk acara 10 meter platform seirama wanita berikutan Datuk Leong Mun Yee mengumumkan persaraannya hujung tahun lalu.


Gandingan Pandelela dan Dhabitah ini dijangka mampu meraih pingat emas buat kontinjen negara kelak kerana kedua-dua mereka mempunyai trek rekod yang baik apabila bergandingan.

Pada Sukan Komanwel Glasgow 2014, Pandelela dan Dhabitah telah meraih pingat gangsa menerusi acara 10 meter platform seirama dan pingat perak pada Siri Terjun Dunia FINA di Kanada pada 2017.

Pemilihan Dhabitah sebagai pasangan Pandelela dibuat setelah melihat kemampuan yang ditunjukkan oleh penerjun berusia 22 tahun sepanjang tempoh persiapan menghadapi temasya Sukan SEA.

Dalam pada itu, ketua jurulatih skuad terjun negara Li Rui telah meletakkan sasaran untuk penerjunnya menyapu bersih kesemua lapan pingat emas yang dipertandingkan.

Pada temasya Sukan SEA Filipina pada tahun 2019, skuad terjun negara menyapu bersih semua pingat emas yang dipertandingkan.

Dengan persiapan rapi yang dilakukan oleh skuad terjun negara, tidak mustahil acara terjun akan menjadi penyumbang terbesar pingat untuk kontinjen Malaysia kali ini.