Kenny Pallraj berkemungkinan akan dikenakan tindakan?

24,250

Seperti yang dijangka perlawanan semalam membabitkan pasukan KL City FC (KLCFC) dan Johor Darul Ta’zim (JDT) menjadi panas dengan beberapa insiden dalam dan luar padang.

Pertembungan kedua-dua pasukan ini dalam saingan Liga Super ini sememangnya menjanjikan satu aksi yang menarik berikutan KLCFC mahu membalas dendam di atas kekalahan mereka dalam perlawanan pembukaan saingan liga iaitu Piala Sumbangsih pada Februari lalu.


Bagaimanapun perlawanan semalam menjadi panas apabila kedua-dua pasukan bermain secara agresif sehingga menyebabkan banyak layangan kad kuning.

Namun kemuncak adalah ketika pemain tengah KLCFC dan juga pasukan kebangsaan iaitu Kenny Pallraj dilayangkan kad merah selepas beliau melepuk pemain lawan Leandro Velazquez.

Perlawanan tamat dengan menyaksikan Harimau Selatan berjaya membenam The City Boys dengan jaringan 3-0 sekaligus meleburkan rekod tanpa kalah KLCFC di laman sendiri dan juga menebus kekalahan pada final Piala Malaysia musim lalu.

Selepas tamat perlawanan, kemarahan Kenny seperti masih belum reda apabila beliau telah memuat naik satu tweet dengan kapsyen;

“Malaysia dah merdeka tapi bola sepak Malaysia masih lagi dijajah. #majulahsukandeminegara,”

tulisnya.

Tweet Kenny yang juga mengandungi imej wang kertas itu nyata mendapat pelbagai reaksi daripada peminat yang menyokong dan tak kurang yang tidak menyokong.

Bagaimanapun tindakan Kenny ini besar berkemungkinan akan menyebabkan beliau dikenakan tindakan berat kerana mengeluarkan kenyataan seperti itu.

Tidak dapat dinafikan ia adalah hak individu untuk meluahkan rasa tidak puas hati di media sosial sendiri, tetapi sebagai seorang atlet profesional dan lebih-lebih lagi seorang pemain kebangsaan, mungkin beliau perlu fikirkan kesan yang akan bakal menimpa dirinya, KLCFC dan juga orang lain.

Seperti pepatah ‘terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya’. Diharap perkara seperti ini tidak akan berlaku lagi selepas ini.