Melaka United FC tunggu bantuan TMJ lagi ke?

3,221

Melaka United FC (MUFC) dan masalah gaji berpisah tiada. Jika sebelum ini masalah gaji selalunya berlaku pada pertengahan musim atau hujung musim, kali ini baru masuk tiga perlawanan sudah ada masalah gaji.

Yang lebih menghairankan rasanya sebelum musim 2022 bermula, Melaka mengumumkan bahawa pada musim ini mereka memperuntukkan bajet lebih RM20 juta tetapi tiba-tiba timbul isu tak bayar gaji pula.


Isu tunggakan gaji didedahkan sendiri oleh ketua jurulatih Melaka, Risto Vidakovic selepas perlawanan Melaka menentang Sabah FC yang menyaksikan skuad Hang Tuah tumpas di laman sendiri.

Bagaimanapun sehingga kini tiada seorang pun pemain yang tampil mengesahkan perkara itu, dan ia berkemungkinan kerana telah diarahkan oleh pihak pengurusan untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Melaka iaitu Datuk Seri Justin Lim juga belum membuat sebarang kenyataan rasmi berkaitan dengan isu ini.

Adakah Melaka tunggu ehsan dan bantuan daripada Tunku Mahkota Johor (TMJ) untuk langsaikan tunggakan gaji mereka?

Umum mengetahui baru-baru ini TMJ telah tampil mendedahkan beliau pernah membantu banyak pasukan di Liga Malaysia yang mengalami masalah kewangan termasuklah Melaka.

Walaupun TMJ merupakan pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), namun atas semangat cintakan bola sepak dan tidak mahu saingan Liga Malaysia terjejas, beliau sanggup mengeluarkan wang sendiri untuk bantu selesaikan masalah gaji pasukan lain.

Nampaknya semakin ramai yang kelihatan seperti mengambil kesempatan terhadap sikap murah hati TMJ.

Dalam pada itu, menurut satu sumber buat masa ini tiada seorang lagi pun pemain Melaka yang membuat laporan kepada Persatuan Pemain-Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) mengenai kemelut gaji yang dihadapi.

Diharap pihak pengurusan Melaka dapat selesaikan isu ini dengan segera kerana pemain juga mempunyai komitmen masing-masing.

Jika tak selesai juga, Malaysian Football League (MFL) perlu ambil tindakan tegas kerana setiap tahun Melaka hampir pasti berdepan masalah gaji.