Lee Chong Wei lebih sesuai pegang jawatan pengarah di BAM

1,446

Ramai yang terkejut dan memberi reaksi apabila bekas pemain badminton No.1 Dunia, Datuk Wira Lee Chong Wei mengakui dirinya mendapat tawaran dari beberapa negara untuk menjadi jurulatih badminton.

Bagaimanapun Chong Wei telah tampil mengesahkan bahawa beliau tidak akan berhijrah kerana tidak berniat untuk jadi jurulatih dan akan terus kekal di Malaysia.


Namun apa yang menarik mengenai kenyataan Chong Wei itu adalah beliau menegaskan bahawa dirinya masih cinta terhadap sukan badminton.

Kenyataan masih cinta terhadap sukan badminton ini mungkin beliau mahu menyumbang sesuatu dalam dunia badminton dan badminton Malaysia tetapi bukan sebagai jurulatih.

Rasanya apa yang diperkatakan oleh bekas pemain badminton negara, Iskandar Zulkarnain ada benarnya iaitu Chong Wei lebih sesuai memegang jawatan selaku pengarah dalam persatuan badminton berbanding jurulatih.

Ramai yang bersetuju dengan kenyataan Iskandar ini kerana percaya Chong Wei lebih layak menjawat jawatan yang lebih besar berikutan beliau mempunyai aura yang hebat sebagai pemimpin.

Jika Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak mempunyai jawatan pengarah untuk Chong Wei, mereka mungkin boleh wujudkan satu jawatan khas iaitu sebagai Penasihat Khas.

Ini kerana Chong Wei mampu membantu pemain-pemain muda negara untuk tingkatkan prestasi mereka selain berlatih dengan jurulatih.

Ketika ini ramai pemain badminton muda negara sering meminta pandangan beliau sebelum mereka membuat sebarang keputusan, termasuklah pemain perseorangan negara Lee Zii Jia yang turut bertemu dengan Chong Wei untuk meminta pandangan berikutan beliau mahu keluar dari BAM.

Jika Chong Wei kembali ke pangkuan BAM, peratusan pemain muda negara yang mahu keluar dari BAM berkemungkinan akan berkurangan.

Diharap BAM dapat bertindak dengan pantas untuk menawarkan jawatan untuk Chong Wei kerana sudah semestinya pemain berusia 39 tahun itu bersedia untuk kembali berkhidmat untuk negara dengan mencurahkan segala pengalaman dan ilmu yang beliau ada kepada pemain muda negara.