Safuwan Baharudin perlu bersikap ‘tolak ansur’ dengan peminat

11,653

Semalam tular satu video penyokong Ultras Selangor melontarkan kata-kata kesat kepada pemain import Selangor FC dari Singapura iaitu Safuwan Baharudin selepas perlawanan menentang Kedah Darul Aman FC.

Penyokong tersebut berang dengan prestasi Safuwan yang dikatakan sangat teruk apabila bolos dalam setiap perlawanan.


Mungkin ada tertanya-tanya mengapa marah sedangkan Selangor menang 4-1, tapi sebenarnya mereka tidak tahu penyokong tegar pasukan Gergasi Merah itu berang dengan Safuwan kerana prestasinya bersama kelabnya teruk, tetapi apabila menyarung jersi kebangsaan Singapura beliau tampil dengan aksi cukup cemerlang.

Mungkin agar kasar apa yang diperkatakan oleh penyokong tetapi setiap pemain perlu ingat bahawa penyokong adalah tulang belakang setiap pasukan dan mereka tidak pernah berkira untuk mengeluarkan wang demi melihat pasukan kegemaran mereka turun beraksi.

Bagaimanapun apabila pemain tidak bersungguh-sungguh dan pamer aksi longlai, maka tidak hairanlah penyokong mengamuk dan marah.

Seperti kes Safuwan, apa yang penyokong marah sangat adalah prestasinya yang dikatakan tidak bersungguh-sungguh, tetapi apabila bermain untuk negaranya beliau mempamerkan aksi yang cukup memukau dan ini telah menimbulkan persoalan dari penyokong Selangor.

Untuk rekod pemain berusia 30 tahun mula bermain di Liga Malaysia pada tahun 2016 apabila menyertai pasukan PDRM FC selama setahun dan kemudian berhijrah ke Sri Pahang pada 2018 sebelum ke Selangor pada tahun 2020.

Safuwan sepatutnya bersikap tolak ansur dengan penyokong sendiri kerana beliau perlu sedar bahawa penyokong tak akan ‘bising’ sekiranya aksinya konsisten sepanjang perlawanan dan hanya membuat beberapa kesilapan sahaja.

Penyokong juga bukannya suka memaki hamun kerana mereka sedar manusia pasti akan melakukan kesilapan, tetapi apabila kesilapan yang dilakukan terlampau kerap ditambah pula apabila sarung jersi kebangsaan secara ‘auto’ prestasi mantap.

Sebagai seorang pemain profesional, beliau sepatutnya perlu pastikan dirinya sentiasa konsisten tidak kira bermain untuk kelab atau pun untuk negara sendiri.

Pada masa sama Safuwan juga perlu menyedari bahawa beliau merupakan pemain import, maka beliau sudah boleh sedar bahawa peminat akan meletak harapan tinggi terhadapnya.

Oleh itu, mana-mana pemain import perlu bersedia untuk berdepan segala kemungkinan dari segi kecaman, makian dan pelbagai lagi sekiranya mereka tidak beri aksi persembahan yang baik.