Pengadil yang salah, Christopher Gamel yang merana

273

Sah! Keputusan pengadil untuk memberikan gol kepada PJ City FC didapati melanggar undang-undang yang telah digariskan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Abang Zulkarnain Abang Abdurahman, Penolong Setiusaha Agung mengesahkan perkara tersebut menerusi analisis video melalui mesyuarat Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil.


Kita sering mengatakan bahawa kesalahan pengadil dalam mengadili perlawanan menyebabkan kekalahan sesuatu pasukan. Tapi sering kita lupa, jurulatih secara tidak langsung terpaksa menanggung rekod kekalahan di dalam resume mereka.

Dalam hal ini, Christopher Gamel jurulatih pasukan Sri Pahang FC yang terpaksa menadah kekalahan yang tak sepatutnya berlaku.

Perkara ini telah menimbulkan persoalan bahawa berapa lama Gamel mampu bertahan selaku jurulatih Sri Pahang.

Memandangkan trend merehatkan jurulatih semakin kerap berlaku, kemungkinan Gamel akan direhatkan itu pasti ada.  

Kita tak mahu perkara ini berlaku tapi itulah realiti pada masa kini. Situasi semasa bola sepak di dunia yang mahukan keputusan secara cepat secara tidak langsung turut memberi kesan kepada industri bola sepak di Malaysia.

Sebagai contoh, jurulatih berpengalaman Mat Zan Mat Aris hanya diberi peluang mengendali lima perlawanan PDRM FC sebelum dipecat. Yang lebih popular, Sri Pahang sebelum ini merehatkan Thomas Doolay hanya selepas dua perlawanan.

Sebagai pemerhati dari pihak luar, keputusan merehatkan pengurus yang masih lagi belum sempat membuktikan kemampuannya adalah tidak adil kerana mereka seharusnya diberi masa untuk menyesuaikan diri.

Pecat jurulatih memang mudah dan senang sahaja untuk kelab-kelab ini mencari jurulatih bagi mengendali pasukan mereka. Tapi perlu diingat, bukan mudah untuk mencari jurulatih yang berkualiti dan serasi dengan hala tuju kelab.

Adakah musim ini akan menyaksikan Dollah Salleh sekali lagi akan menggalas tanggungjawab sebagai ketua jurulatih? Sama-sama kita tunggu.